KUALA LUMPUR, – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melakar satu lagi detik bersejarah hari ini apabila Naib Canselor baharunya, YBhg. Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad, menyampaikan Perutusan Ulung Naib Canselor sempena 100 hari pelantikan beliau yang berlangsung di Dewan Zulfakar, UPNM.
Dalam perutusan yang sarat dengan iltizam dan hala tuju strategik itu, beliau mengumumkan pelan pembangunan jangka panjang universiti dikenali sebagai UPNM30, yang akan menjadi panduan utama transformasi UPNM menjelang tahun 2030.
“UPNM30 adalah kerangka strategik untuk menjadikan UPNM sebagai universiti premier dalam bidang ketenteraan, pertahanan dan keselamatan yang unggul serta berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujar beliau.
Dalam menyokong pelaksanaan UPNM30, beliau turut memperkenalkan satu falsafah baharu dikenali sebagai H.E.L.A.N.G, iaitu: Holistik,Etika,Legasi,Adaptasi, Naratif, dan Gagasan.
Falsafah ini menjadi nilai panduan yang perlu dihayati oleh seluruh warga UPNM dalam mencorak pemikiran, tindakan dan budaya kerja yang progresif dan inklusif.
“HELANG bukan sekadar simbol ketenteraan, tetapi lambang kebijaksanaan, kekuatan dan pandangan jauh ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh warga UPNM dalam mendepani cabaran global,” jelas beliau.
Lt Jen Datuk Arman turut menegaskan bahawa pelan ini diselaraskan dengan kerangka pembangunan nasional termasuk agenda Malaysia MADANI, demi memastikan UPNM terus relevan dan memberi impak kepada negara.