Oleh Zihan Zari
BACHOK – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), telah mengadakan lawatan penandaarasan ke Kampus Bachok, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dekat sini, baru-baru.
Lawatan ini bagi memperkukuhkan kerjasama strategik dalam bidang keusahawanan.
POLIMAS dalam kenyataannya berkata lawatan ini anjuran Unit Pembangunan Keusahawanan POLIMAS, melibatkan penyertaan seramai 25 orang pelajar dari pelbagai program pengajian serta tujuh orang pensyarah pengiring.
”Lawatan ini bertujuan untuk meninjau pendekatan dan pelaksanaan program keusahawanan di UMK yang terkenal sebagai universiti keusahawanan negara,”kata kenyataan itu.
Menurut Ketua Unit Pembangunan Keusahawanan POLIMAS, Dr. Dzulkarnain Musa, lawatan ini merupakan inisiatif penting dalam menjalin hubungan kerjasama yang lebih erat dengan UMK.
“Lawatan ini membuka peluang kepada kedua-dua institusi untuk memperkukuh program keusahawanan melalui pertukaran kepakaran dan pengalaman.
“Kami berharap kerjasama ini dapat dirangka secara strategik agar manfaatnya dapat dirasai oleh pelajar dari kedua-dua institusi,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Ignite Venture Lab UMK, Dr. Hana Yazmeen Hapiz berkata pihak UMS berbesar hati menyambut baik kunjungan POLIMAS dan menyatakan harapannya agar jalinan ini menjadi pemangkin kepada pelbagai bentuk kolaborasi pada masa hadapan.
“Kunjungan ini membuka ruang kepada pertukaran idea, pengalaman, serta pendedahan dalam bidang keusahawanan dan kepimpinan, bukan sahaja untuk pelajar, malah juga tenaga pengajar,” katanya dalam sesi taklimat.
Dr. Hana Yazmeen turut mempelawa pelajar POLIMAS untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama dalam pelbagai program ditawarkan oleh UMK, yang menekankan elemen keusahawanan sebagai teras pembelajaran.
Pelajar POLIMAS, Nur Kamilia Mohd Radzi, menyatakan rasa kagumnya terhadap UMK dan ini kali pertama kalinya menjejakkan kaki ke UMK.
“Saya amat teruja mengetahui bahawa universiti ini menawarkan 13 jam kredit berkaitan keusahawanan pada semua program pengajian.
“Ini menunjukkan komitmen serius UMK dalam melahirkan graduan berjiwa usahawan,” katanya.
Manakala, pelajar Muhammad Adam Muhammad Nasser berkata pendekatan pembelajaran keusahawanan di UMK sangat memberi inspirasi.
“UMK jelas menyediakan platform terbaik kepada pelajar untuk memulakan langkah sebagai usahawan dan saya tertarik dengan pendekatan di mana pelajar diberi peluang membuka kiosk dengan pinjaman modal kecil sejak awal pengajian,”katanya usai sesi lawatan.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof. Dr. Muhammad Ismail, dan Pengarah Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana UMK, Dr. Mohd Ikhwan Aziz.
“Lawatan ini diharapkan menjadi titik tolak kepada kerjasama berterusan antara POLIMAS dan UMK dalam melahirkan lebih ramai usahawan muda yang kompeten dan berdaya saing selari dengan aspirasi pendidikan negara, ”tambah kenyataan itu lagi.-SUARA.TV