KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno menyanggah dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya wujud sekelompok golongan yang taksub terhadap Datuk Seri Najib yang kini dipenjara dan juga skandal 1MDB.
Datuk Dr Akmal Saleh sebaliknya menegaskan, pihaknya bukanlah obses dengan bekas Perdana Menteri itu namun hanya mahu menuntut hak Najib agar dapat menjalani tahanan rumah seperti yang telah dikurniakan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini sahaja.
“Bukan obses pada Najib wahai PMX, tetapi mempertahankan hak Najib yang telah mendapat tahanan rumah yang dikurniakan kepada beliau oleh Tuanku Agong yang sebelum ini.
“Kami tidak turun berdemo mempertikaikan keputusan mahkamah seperti yang pernah dilakukan oleh penyokong Datuk Seri satu masa dahulu, kami hanya mahu hak Najib diberikan sahaja.
“Mahkamah dah berikan keputusan ke atas kes beliau maka kami akur, tetapi apabila Najib diberikan hak tahanan rumah oleh Tuanku Agong,maka harus kita semua akur
sama juga seperti penyokong Datuk Seri dulu,yang merasakan Datuk Seri perlu diberikan hak pengadilan yang adil begitu juga kami kepada Najib,” jelas Akmal terhadap dakwaan Anwar itu.
Jelas Exco Melaka itu lagi, tiada helah yang lain, selain daripada hak Najib perlu diberikan.
“Bagaimana Datuk Seri (Anwar) mempunyai jasa kepada negara,begitu juga dengan Najib Razak yang tidak boleh dinafikan jasa beliau.
“Maka jangan takut,jangan bimbang ya PMX,” ujar Akmal.
Anwar sebelum itu dilaporkan mempersoalkan “ketaasuban” sesetengah yang jelas terhadap skandal 1MDB dan bekas perdana menteri, Najib yang kini mendekam dalam penjara ketika masih ada banyak lagi kes berkaitan rasuah yang melibatkan kerugian bernilai berbilion-bilion ringgit.
Bercakap dalam program 101 East terbitan Al-Jazeera, Perdana Menteri yang menegaskan sikapnya kekal dalam isu 1MDB turut menegaskan terdapat berbilion-bilion ringgit lagi yang “dicuri” oleh para pemimpin lain.a