Ringgit naik kepada 4.68 berbanding dolar AS, Bursa Malaysia juga meningkat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Ringgit meningkat kepada 4.6800 berbanding dolar AS pada sesi pembukaan pada Khamis, paras kali terakhir dilihat dua bulan lepas, apabila data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah daripada jangkaan memberikan harapan kepada penurunan kadar faedah AS yang lebih awal.

Pada 9 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.6800/6850 berbanding dolar AS daripada 4.7050/7075 pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan boleh berada pada paras RM4.67 hingga RM4.68.

“Ringgit dijangka mencatatkan prestasi yang baik hari ini berikutan kadar inflasi AS diunjurkan lebih rendah, dengan data terkini menunjukkannya menurun kepada 3.4 peratus pada April daripada 3.5 peratus.

“Pasaran pertukaran asing dijangka memberi impak positif berikutan peluang kenaikan kadar adalah rendah dan terdapat kemajuan yang baik mengenai inflasi AS,” katanya lapor Bernama pada Khamis.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 3.0435/0470 daripada 3.0189/0207 semalam, susut berbanding pound kepada 5.9422/9485 daripada 5.9391/9423 pada Rabu dan berkurangan berbanding euro kepada 5.0970/1024 daripada 5.0941/0968 sebelum ini.

Ia diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.4858/4898 daripada 3.4873/4894 pada Rabu dan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9128/9313 daripada 12.8735/8867 semalam.

Ia naik berbanding rupiah Indonesia kepada 291.9/292.4 daripada 293.5/293.8 sebelum ini dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.16/8.17 daripada 8.17/8.19.

Sementara itu, Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan semula pada dagangan awal, menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang positif selepas data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah daripada jangkaan memberikan harapan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menurunkan kadar faedah tidak lama lagi.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 1.53 mata kepada 1,604.76 daripada 1,603.23 semalam.
Indeks barometer dibuka tinggi 1.15 mata kepada 1,604.38.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 231 berbanding 176 dengan 312 kaunter tidak berubah, 1,649 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 297.48 juta unit bernilai RM195.11 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberitahu bahawa indeks dijangka meningkat dan berada antara 1,605 dan 1,615 hari ini selepas Wall Street mencatatkan prestasi yang baik semalam.

Dow Jones naik 350 mata manakala Nasdaq menambah 231 mata, didorong oleh saham teknologi dan hasil 10 tahun AS yang merosot kepada 4.344 peratus.

Indeks Harga Pengguna (IHP) AS pada April meningkat 0.3 peratus, di bawah jangkaan untuk kenaikan sebanyak 0.4 peratus, menunjukkan inflasi meneruskan aliran penurunan pada suku kedua.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, minat belian dijangka terhadap sektor teknologi domestik berdasarkan kenaikan di Wall Street.

“AS yang mengenakan tarif lebih tinggi ke atas produk China dijangka memberi manfaat kepada industri sarung tangan, semikonduktor, perkhidmatan pembuatan elektronik dan industri berkaitan logam.

“Kami turut memilih sektor pembinaan, bahan binaan dan hartanah dengan pemangkin domestik seperti projek infrastruktur mega yang sedang dilaksanakan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam kalangan kaunter saham wajaran tinggi, YTL dan Petronas Chemicals, masing-masing naik empat sen kepada RM3.67 dan RM6.85.

YTL Power meningkat lima sen kepada RM5.19, Press Metal naik tiga sen kepada RM5.43 dan Public Bank menambah satu sen kepada RM4.16.

Kaunter sarung tangan terus mendominasi senarai kaunter aktif, tetapi kebanyakannya rendah dengan Top Glove merosot satu sen kepada RM1.25 dan Careplus berkurangan 1.5 sen kepada 36.5 sen. Revenue naik setengah sen kepada 25 sen dan TWL tidak berubah pada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 6.13 mata kepada 12,190.82, Indeks FBMT 100 naik 4.12 mata kepada 11,796.64 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 4.42 mata kepada 12,395.12.

Indeks FBM ACE meningkat 29 mata kepada 5,314.69 dan Indeks FBM 70 merosot 22.91 mata kepada 17,389.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 1.42 mata kepada 17,508.26, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.66 mata kepada 193.06 dan Indeks Perladangan susut 2.71 mata kepada 7,382.16.

Indeks Tenaga meningkat 1.02 mata kepada 986.95.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat