Oleh Zihan Zari
SEREMBAN – Program Taklimat Isu semasa merupakan satu inisiatif Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) bagi menyampaikan segala maklumat dan mengupas isu-isu semasa agar masyarakat benar-benar faham serta mendapat maklumat yang tepat lagi sahih.
Pengarah JaPen Negeri Sembilan, Azrul Hasan berkata, bagi tujuan itu pada tahun ini pihaknya akan menganjurkan lima lagi siri Taklimat Isu-isu Semasa dan akan menjelajah ke seluruh negeri ini.
“JaPen Negeri Sembilan akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan lain serta pimpinan masyarakat setempat dalam sesi akan datang agar isu-isu semasa dapat dijelaskan sehingga ke peringkat akar umbi, ”katanya kepada Wartawan SUARA TV.
Dalam pada itu, JaPen Negeri Sembilan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan buat julung kalinya berkolaborasi menganjurkan Program Taklimat Isu-isu Semasa di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kuala Pilah pada Rabu.
Ianya melibatkan seramai 200 orang melibatkan 120 orang pelajar, ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat setempat dalam daerah Kuala Pilah.
Taklimat pada kali ini mengupas isu Kesihatan Mental yang disampaikan oleh Dr. Nurdiyana Abd Samad dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Pilah.
Manakala isu Sexual Grooming oleh Inspektor Khairunisaq Muhammad Jani dari Bahagian Seksual dan Kanak-kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.
“Pemilihan topik ini adalah bertujuan memberi pendedahan dan kefahaman kepada peserta berkaitan isu ini terutama dalam menghapuskan stigma masyarakat terhadap isu kesihatan mental, ”ujarnya. – SUARA.TV