JMB Kondominium Mohon Maaf Isu Azan

- Advertisement -

GEORGE TOWN – Badan pengurusan bersama (JMB) kondominium Tri Pinnacle, Tanjong Tokong di sini memohon maaf secara terbuka kepada penduduk beragama Islam di situ dan umat Islam keseluruhannya ekoran isu tular berkaitan laungan azan di surau kondominum berkenaan.

Pengerusi JMB kondominium Tri Pinnacle, Alex Low berkata, pihaknya tidak berniat melarang laungan azan di surau berkenaan seperti dakwaan sesetengah pihak di dalam media sosial.

”Kami sama sekali tidak mempunyai niat untuk melarangkan laungan azan di Surau Saidina Umar, Blok A Tri Pinnacle. Saya secara peribadi, memohon maaf jika ada kata-kata dan ucapan saya menimbulkan kemarahan mana-mana pihak.

”Untuk makluman, pihak JMB dan wakil Ahli Jawatankuasa (AJK) surau telah bermesyuarat dan berbincang mengenai hal ini dengan Jabatan Agama Islam Daerah Timur Laut, Pulau Pinang pada 9 Mei yang lalu, persetujuan telah dicapai dan masalah telah pun diselesaikan,” katanya dalam sidang akhbar di kondominium Tri Pinnacle, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

Sidang media itu bagaimanapun sedikit kecoh apabila penduduk mempertikai penjelasan yang diberikan oleh Ahmad Zakiyuddin dan wakil JMB.

Sebelum ini, klip video berkenaan sesi dialog antara pihak JMB sebuah kondominium di Tanjung Tokong dengan penduduk berhubung isu semasa di kediaman tersebut tular di media sosial.

Menurut Alex, pihaknya amat kesal dan kecewa kerana isu yang sepatutnya hanya menjadi perbincangan dalaman secara sulit telah disebarkan sehingga mewujudkan salah faham.

”Kami faham dan hormat agama Islam sebagai agama rasmi di negara kita dan kami juga jelas azan dilaungkan untuk memanggil umat Islam menunaikan solat.

“Kami ingin menjelaskan agenda yang dibawa bukanlah mengenai laungan azan tetapi mengenai pemasangan speaker, dan agenda ini telah pun ditarik balik berikutan amat sensitif untuk diperbincangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, perselisihan mengenai isu itu sedang diuruskan dengan baik dan hampir diselesaikan semua pihak terlibat termasuk AJK kariah, pentadbir surau dan pengurusan bangunan sendiri.

”Azan di surau ini masih berkumandang, tidak ada masalah, cuma apa yang kami ralat isu ini disalah erti sehingga menimbulkan implikasi azan tidak dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata,
polis sudah memanggil JMB kondominium itu dan pengurusan surau kondominium tersebut untuk diambil keterangan berhubung isu berkenaan. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat