KUALA LUMPUR – Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menzahirkan perasaan kecewa terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat-flat kos rendah di negeri berkenaan.
Baginda bertitah, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.
“Saya melihat ada beberapa flat kos rendah di negeri ini dalam keadaan yang amat menyedihkan dan seolah-olah rakyat saya hidup dalam ‘reban ayam.
“Saya harap kerajaan pusat akan berikan bantuan untuk baik pulih flat kos rendah yang lama, dan penduduk juga mesti sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran kawasan flat mereka,” titah baginda di Facebook, semalam.
Baginda Sultan menyatakan rasa tidak puas hati dengan perkhidmatan pembersihan yang dijalankan oleh SWM Environment Sdn Bhd (SWM) di negeri Darul Takzim itu.
“Kerajaan negeri terpaksa membayar hampir RM180 juta setiap tahun kepada SWM, namun perkhidmatan (pembersihan) atau pungutan sampah yang dijalankan langsung tidak memuaskan.
“Malah perjanjian bersama SWM adalah ‘watertight’ seolah-olah tidak boleh dipertikaikan. Walaupun banyak aduan telah dibuat mengenai perkhidmatan SWM yang mengecewakan, namun keadaan masih tidak berubah,” titah baginda lagiz
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Sultan Johor menegaskan, KPKT perlu mengambil perhatian perkara-perkara yang disampaikan Baginda demi kepentingan rakyat.