Tak sampai 100 hari, Trump sudah akibatkan “kerosakan dan kemusnahan besar” – Joe Biden

- Advertisement -

CHICAGO – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengkritik keras Donald Trump dengan mendakwa tempoh 100 hari pertama pentadbirannya telah menimbulkan “kerosakan dan kemusnahan yang besar.”

“Dalam kurang daripada 100 hari, pentadbiran baharu ini telah menyebabkan begitu banyak kerosakan dan kemusnahan. Ia benar-benar mengejutkan,” katanya ketika berucap pada Persidangan 2025 untuk peguam bela, penasihat dan wakil orang kurang upaya (ACRD), di Chicago, pada Selasa.

Kenyataan itu dibuat Biden dalam penampilan awam pertamanya sejak beliau meninggalkan White House.

Biden turut menuding kepada pemotongan dalam tenaga kerja Persekutuan sebagai antara punca kelemahan sistem perkhidmatan awam.

Beliau turut menjadikan laman web Pentadbiran Keselamatan Sosial (Social Security Administration) sebagai contoh, yang menurutnya, kini sering mengalami gangguan dan menyebabkan pengguna gagal mengakses akaun mereka.

Dalam ucapannya, Biden menegaskan, kepentingan mempertahankan program Keselamatan Sosial – satu isu yang kini menjadi tumpuan utama dalam kalangan pemimpin Demokrat yang sedang melancarkan Hari Tindakan Nasional bagi membantah kemungkinan pemotongan terhadap program tersebut.

Program Keselamatan Sosial, tegas Biden, bukan sekadar inisiatif kerajaan, sebaliknya merupakan “janji suci” yang perlu dipertahankan.

“Keselamatan Sosial lebih daripada sekadar program kerajaan ia adalah janji suci yang telah kita buat bersama… janji suci,” tegas beliau.
Menurut Biden, jutaan rakyat Amerika telah menyumbang kepada program itu sejak mula bekerja, dengan harapan bantuan yang dijanjikan akan diberikan apabila mereka benar-benar memerlukannya.

“Kita tidak boleh dan tidak akan mengkhianati kepercayaan itu atau berpaling daripada tanggungjawab ini,” katanya sambil menyorot usaha-usaha yang dilaksanakannya sepanjang pentadbirannya untuk melindungi program berkenaan.

Selepas mengambil alih kepimpinan Amerika bagi penggal kedua, Presiden Trump dan hartawan teknologi, Elon Musk telah mengurangkan sebanyak 7,000 jawatan di Pentadbiran Keselamatan Sosial dalam beberapa bulan kebelakangan ini, sebagai sebahagian daripada usaha mengecilkan tenaga kerja Persekutuan menerusi penubuhan Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) yang baharu.

Langkah drastik ini telah mencetuskan bantahan hebat daripada parti Demokrat, yang melihat pemotongan tersebut sebagai satu ancaman serius terhadap keupayaan kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan asas kepada rakyat, terutamanya warga emas dan golongan kurang upaya yang bergantung kepada sistem Keselamatan Sosial.

Demokrat menyifatkan tindakan ini sebagai satu bentuk pengabaian tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat, dan mendakwa ia akan melemahkan keberkesanan agensi dalam melayani jutaan rakyat Amerika yang bergantung pada perlindungan sosial tersebut.

Tidak cukup itu, sejak kembali memegang jawatan Presiden juga, Trump secara konsisten menyalahkan Biden atas pelbagai isu dalam dan luar negara.

Dalam ucapannya bersama Kongres pada Mac lalu, Trump mendakwa, Biden bertanggungjawab terhadap kenaikan harga barangan asas, termasuk telur.

“Joe Biden terutamanya membiarkan harga telur menjadi tidak terkawal,” lapor Agensi.

Selain isu domestik, Trump turut menuding jari kepada Biden berhubung ketegangan geopolitik yang sedang berlaku.

Beliau menyalahkan Biden atas konflik di Gaza dan Ukraine, malah merujuk kepada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sebagai “Perang Biden.”

Kenyataan itu diperkuatkan lagi ketika pertemuan kontroversi antara Trump dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy di Oval Office pada Mac lalu, di mana Trump dilaporkan memanggil Biden sebagai “Presiden yang bodoh.”

Retorik Trump itu terus mencetuskan perdebatan politik, dengan pengkritik mendakwa beliau cuba mengalihkan perhatian daripada cabaran semasa pentadbirannya sendiri dengan terus menyalahkan pentadbiran terdahulu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat