CYBERJAYA – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap akhbar Sin Chew Daily susulan penerbitan gambar bendera Malaysia yang tidak lengkap, tanpa lambang bulan sabit yang melambangkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Dalam kenyataan video dimuat naik ke laman Facebook beliau, Akmal menyifatkan tindakan akhbar itu sebagai satu penghinaan terhadap kedaulatan negara.
“Lambang logo bulan sabit ini melambangkan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan kuning itu dalam bulan sabit melambangkan kedaulatan raja-raja. Bagaimana sebuah akhbar senior boleh lakukan kesilapan sebegini?” tegas beliau.
Beliau turut mempertikaikan bagaimana kesilapan sedemikian boleh terlepas daripada perhatian pihak editorial, terutama bagi sebuah akhbar arus perdana yang telah lama beroperasi.
“Takkan tak ada editor yang semak? Takkan tak tahu lagi bendera Malaysia ini mesti ada bulan dan bintangnya? Bendera China betul pula kamu cetak,” katanya lagi.
Walaupun Sin Chew Daily telah mengeluarkan permohonan maaf rasmi, Akmal berpendapat ia tidak memadai dan menyeru agar Menteri Komunikasi mengambil tindakan tegas terhadap pihak akhbar berkenaan.
“Kita tak boleh biarkan perkara ini selesai hanya dengan permohonan maaf. Ia mesti dikenakan tindakan berat supaya jadi pengajaran,” katanya sambil menekankan bahawa kes ini melibatkan simbol kedaulatan negara.
Kesilapan penerbitan itu tular di media sosial dan menimbulkan reaksi pelbagai pihak, terutama apabila ia melibatkan simbol rasmi negara yang membawa makna mendalam terhadap identiti dan Perlembagaan Persekutuan.