KUALA LUMPUR,- Dua acara utama industri acara perniagaan negara, Malaysian Business Events Awards (MBEA) dan EventXpo 2025, akan berlangsung serentak dari 7 hingga 9 Ogos 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), umum Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran Malaysia (MACEOS).
Menurut Presiden MACEOS, Datuk Dr M Gandhi, acara ini bukan sahaja menghimpunkan pemain industri tempatan dan serantau, tetapi juga membuka ruang kerjasama, pertukaran ilmu dan peluang perniagaan baharu.
MBEA pula akan berlangsung pada 7 Ogos 2025 bagi mengiktiraf organisasi dan acara yang menunjukkan kecemerlangan dan inovasi dalam industri. Beberapa kategori baharu akan diperkenalkan tahun ini, termasuk Kecemerlangan Pemangkin Perniagaan dan Reka Bentuk Pentas Terbaik.
EventXpo 2025 yang bertemakan “Penyelesaian Pintar, Acara Pintar” bakal menampilkan pameran teknologi terkini, sesi ucaptama, serta pengalaman interaktif untuk penggiat industri. Ia turut menyediakan platform buat pembeli korporat mendapatkan pembekal acara yang diyakini.

MACEOS turut mengetengahkan inisiatif Kind Malaysia sempena EventXpo, bagi menggalakkan kerjasama antara syarikat dan organisasi bukan berasaskan keuntungan.
Maklumat lanjut boleh didapati di www.eventxpo.my dan www.maceos.org.my.