KUALA LUMPUR – Keluarga Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi menghargai jasa baik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan nukilan menyentuh jiwa terhadap Allahyarham.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar selaku menantu mewakili keluarga besar Tun Abdullah merakam ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri.
“Terima kasih, sir, atas beberapa nukilan ikhlas yang dikarya mengingati sahabat lama.
“Kami sekeluarga amat tersentuh dengan kemuliaan kata Datuk terhadap ayahanda Pak Lah.
“Penghargaan jua kepada Datuk Seri dan kerajaan kerana memberi penghormatan kepada Pak Lah dengan mengizinkan satu istiadat persemadian yang teristimewa dan kebenaran untuk jenazahnya disemadikan di Makam Pahlawan bersama negarawan-negarawan yang lain.
“I shall forever be grateful for this, sir,” tulis Khairy di ruang komen Instagram Anwar.
Dalam hantaran tersebut, Anwar berkongsi foto momen-momen kebersamaan beliau dan Pak Lah sewaktu bersama dalam perjuangan Umno.
“Sosok Pak Lah pasti meninggalkan bekas yang mendalam kepada rakyat dan negara.
“Berehatlah, Pak Lah.Malaysia ternyata terhutang budi atas jasa sang negarawan yang membumi,” catat Anwar menghargai sahabatnya.