Dua Remaja Didakwa Seludup Semut , 5,000 Ekor Ditemui Dalam Tabung Uji

- Advertisement -

NAIROBI – Dua remaja lelaki warga Belgium berusia 19 tahun didakwa di mahkamah Kenya atas tuduhan penyeludupan hidupan liar selepas pihak berkuasa menemui sebanyak 5,000 ekor semut yang disimpan dalam ribuan tabung uji di rumah tamu tempat mereka menginap.

Lornoy David dan Seppe Lodewijckx, yang ditahan pada 5 April lalu di daerah Nakuru, dilihat dalam keadaan sedih ketika dibawa ke mahkamah di Nairobi. Mereka menangis dan dipeluk oleh ahli keluarga di dalam kamar mahkamah. Ketika membela diri di hadapan majistret, kedua-duanya menyatakan bahawa mereka hanya mengumpul semut “sekadar suka-suka” dan tidak tahu perbuatan itu menyalahi undang-undang.

Warga Belgium Lornoy David kiri dan Seppe Lodewijckx kanan Foto APBrian Ingata

Namun begitu, pihak berkuasa Kenya menjelaskan bahawa kes ini mencerminkan peningkatan trend dalam penyeludupan spesies kecil yang jarang dikenali, khususnya ke pasaran Eropah dan Asia.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki Kenya, Dennis Ng’ang’a, dan warga Vietnam, Duh Hung Nguyen, turut ditahan dan didakwa selepas didapati memiliki 400 ekor semut di kediaman mereka di Nairobi.

Menurut Kenya Wildlife Service (KWS), kesemua lelaki terbabit dipercayai terlibat dalam rangkaian penyeludupan semut jenis Messor cephalotes – sejenis semut pemungut yang besar, berwarna merah, dan berasal dari Afrika Timur.

Pihak KWS menegaskan bahawa penyeludupan ini bukan sahaja mencabuli kedaulatan biodiversiti Kenya, tetapi juga menafikan hak masyarakat tempatan dan institusi penyelidikan daripada potensi manfaat ekonomi dan ekologi.

“Kes ini menunjukkan peralihan dalam trend penyeludupan – daripada haiwan liar besar seperti gajah dan badak sumbu kepada spesies kecil yang memainkan peranan penting dalam ekosistem,” ujar kenyataan KWS.

Difahamkan, semut yang dirampas dari remaja Belgium itu disimpan dalam 2,244 tabung uji berisi kapas bagi membolehkan semut bertahan hidup dalam tempoh panjang. Nilai keseluruhan semut dianggarkan mencecah 1 juta shilling Kenya (kira-kira RM36,000).

Pakar pemuliharaan dari Africa Wildlife Foundation, Philip Muruthi, berkata semut memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesuburan tanah, membantu percambahan benih, serta menjadi makanan kepada spesies lain seperti burung.

“Bila lihat hutan yang sihat seperti Hutan Ngong, kita jarang fikir tentang peranan semut dan organisma kecil lain yang menjadikannya begitu,” katanya.

Beliau turut memberi amaran tentang risiko eksport penyakit dari spesies liar ke industri pertanian negara lain, dan menyeru agar sebarang bentuk perdagangan hidupan liar dikawal ketat.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat