Bung Moktar umum kerjasama BN-PH tanpa keputusan rasmi, strategi uji reaksi politik – Suhaimi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Politik bukan tentang tunggu lampu hijau, pemimpin sebenar ialah mereka yang berani mencipta jalan baharu.

Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Suhaimi Nasir berkata, kenyataan terbaru Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin kerjasama antara Umno Sabah dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 telah mencetuskan pelbagai reaksi namun ini bukanlah sejenis lawak tetapi gerak strategi politik bijak.

“Ada pihak termasuk dari dalam Umno sendiri tampil menjelaskan bahawa tiada keputusan rasmi dibuat, manakala segelintir pula memilih untuk memperlekeh atau menjadikannya bahan jenaka.

“Dari sudut komunikasi politik, apa yang dilakukan oleh Bung Moktar ialah penggunaan strategi persepsi politik pendekatan yang terancang untuk membentuk sentimen rakyat, menguji reaksi politik, dan menguasai kembali naratif media menjelang pilihan raya penting.

“Dengan membuka wacana tentang keterbukaan terhadap kerjasama khususnya dengan sebuah gabungan yang menguasai kerajaan Persekutuan Umno Sabah sedang menghantar mesej bahawa parti ini masih relevan, fleksibel, dan strategik dalam pendekatan politiknya. Ini bukan kenyataan rambang. Ini mesej yang dikira dengan teliti,” kata Suhaimi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran memberitahu, dalam dunia sains politik ini juga dikenali sebagai agenda setting iaitu menukar tumpuan media dan rakyat daripada isu dalaman parti kepada kemungkinan kerjasama masa depan yang membawa harapan dan kestabilan.

Jelas Suhaimi, ia membolehkan Umno Sabah menguasai kitaran media, menyuntik semula semangat jentera parti, dan mengukuhkan kedudukannya dalam landskap politik negeri dan nasional.

“Perlu difahami bahawa ungkapan seperti “pintu rundingan sentiasa terbuka” bukan satu bentuk komitmen rasmi. Ia adalah alat komunikasi strategik untuk menilai reaksi akar umbi, membuka ruang rundingan, dan mencipta kelebihan politik dalam rundingan yang akan datang.

“Soal sama ada kerjasama ini akan berlaku atau tidak adalah perkara kedua. Yang penting sekarang ialah Umno Sabah kembali berada dalam radar politik nasional dalam perbualan media, perhatian rakyat, dan pertimbangan parti-parti lain.

“Kepada mereka yang memilih untuk memperlekeh strategi ini ketahuilah bahawa dalam politik hari ini, siapa yang menguasai persepsi, dia yang memacu momentum.

“Politik bukan tentang tunggu lampu hijau, pemimpin sebenar ialah mereka yang berani mencipta jalan baharu. Dan hari ini, UMNO Sabah sedang merintis laluan itu di bawah kepimpinan Bung Moktar,” ujar Suhaimi.

Ahad lalu, Bung Moktar mengumumkan kerjasama BN dan PH Sabah bagi menghadapi PRN17 yang didakwanya sudah dimuktamadkan pada pemukiman Umno Sabah akhir tahun lalu.

Pengumuman itu menimbulkan pelbagai reaksi, khususnya dari parti komponen PH yang mengatakan perkara berkenaan perlu dibincangkan terlebih dahulu memandangkan belum ada perbincangan rasmi BN-PH sebelum ini.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat