CYBERJAYA: Kerajaan Negeri Sembilan akan menyenarai hitam pemegang lesen bazar Ramadan yang menggaji pekerja asing atau membenarkan mereka berniaga, kata Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J Arul Kumar.
Menurutnya, tindakan tegas termasuk penyitaan barangan jualan akan diambil sekiranya syarat tersebut dilanggar.
“Syarat berkenaan mesti dipatuhi dan tidak ada warga asing sebagai pekerja atau peniaga di mana-mana bazar Ramadan. Jika ada, saya akan meminta pihak PBT mengambil tindakan segera termasuk menyita semua barangan.
“Penganjur juga akan disenarai hitam dan tidak lagi boleh memohon untuk menganjurkan mana-mana bazar Ramadan pada tahun-tahun akan datang,” katanya seperti dipetik oleh Utusan Malaysia.
Arul memberikan kenyataan ini sebagai maklum balas terhadap tindakan beberapa penganjur tahun lalu yang membenarkan warga asing berniaga di bazar Ramadan.
Beliau turut menegaskan bahawa bazar Ramadan bertujuan menjana pendapatan tambahan kepada rakyat tempatan dan tidak boleh dijadikan peluang mengaut keuntungan mudah dengan menyewakan tapak kepada pihak lain.
**“Sesiapa yang mohon gerai di bazar Ramadan sahaja boleh berniaga di sana berdasarkan kepada permohonan lesen PBT yang diterima.
“Jangan pandai-pandai mohon dengan penganjur dan selepas itu jual tapak itu dengan harga yang lebih tinggi,”** katanya.