Kes kelucahan: Mahkamah kekalkan hukuman penjara 13 bulan terhadap ‘ Ustaz Budak’

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat, mengekalkan hukuman penjara 13 bulan terhadap seorang bekas mudir sebuah tahfiz di Machang, Kelantan yang dikenali sebagai `Ustaz Budak’ kerana melakukan kelucahan melampau dengan mencium pipi seorang ahli perniagaan lelaki berusia 30 tahun, di sebuah hotel, empat tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian selepas menolak permohonan Syamsul Zaman Sukri, 36, untuk mendapat kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan sabitan dan hukuman itu terhadapnya.

Ketika membaca keputusan sebulat suara bersama Hakim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin, beliau berkata, mahkamah memutuskan permohonan bekas mudir tahfiz itu tidak bermerit.

Mengikut pertuduhan itu, Syamsul Zaman yang juga seorang pendakwah didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang ahli perniagaan lelaki berusia 30 tahun termasuk mencium pipi di sebuah hotel di ibu negeri Kelantan, pada jam 1.15 pagi, 16 Disember 2020.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Pada 9 Mac tahun lalu, Mahkamah Majistret Kota Bharu menjatuhi tertuduh hukuman tersebut selepas dia didapati bersalah namun penangguhan hukuman terhadapnya dibenarkan sepanjang tempoh rayuan.

Pada 21 November tahun sama, Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengekalkan hukuman dan sabitan itu dan mengarahkan hukuman pemenjaraan berkuat kuasa serta-merta.

Sebelum ini, `Ustaz Budak’ didakwa di beberapa mahkamah di negeri itu, melebihi 10 kes melibatkan jenayah seksual terhadap beberapa mangsa lelaki termasuk bekas pelajarnya.

Syamsul Zaman kemudiannya memohon untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 13 bulan kerana melakukan kelucahan melampau dengan mencium pipi ahli perniagaan yang juga pemilik hotel.

Untuk rekod, rayuan bagi kes-kes yang bermula di mahkamah rendah seperti Mahkamah Majistret, akan berakhir di peringkat Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, perayu boleh mengemukakan rayuan sehingga ke Mahkamah Rayuan namun perlu mendapat kebenaran panel bersidang dengan mengemukakan persoalan undang-undang.

Sementara itu, semasa hujahan prosiding permohonan, peguam, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri yang mewakili Syamsul Zaman berkata, wujud percanggahan yang material.

Menurutnya, ini kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan secara tepat waktu kejadian berkenaan berlaku.

Katanya, keterangan pendakwaan menyatakan masa kesalahan dilakukan ialah pada jam 1.15 pagi, walhal mangsa yang juga pengadu kes dalam laporan polisnya menyebut ketika itu, mereka baru tiba di hotel.

“Seorang lagi saksi pendakwaan secara spesifik juga menyatakan, pengadu tidak berada dalam bilik hotel itu, seperti mana yang dinyatakan dalam pertuduhan,” katanya.

Bagaimanapun, Hadhariah mencelah dengan menyatakan, isu berkaitan masa kejadian adalah fakta, bukan dikategorikan sebagai persoalan undang-undang yang sepatutnya dibangkitkan dalam permohonan kebenaran merayu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhisham Mohd Jaafar menghujahkan, elemen yang penting ialah, perlakuan seksual dan identiti pelaku.

Menurutnya, perkara berkenaan telah dipertimbangkan oleh majistret yang mencapai dapatan bahawa percanggahan berkaitan masa tidak bersifat material.

“Pemohon mengaku berada di tempat kejadian namun menafikan perbuatan itu yang mana ia terjumlah kepada penafian semata-mata,” katanya. – Sinar

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat