Sanusi minta kebenaran gantung perbicaraan, mohon pindah kes ke Mahkamah Tinggi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, mengemukakan permohonan untuk memindahkan perbicaraan kes dihadapinya di Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Kes itu membabitkan tuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan menerusi ceramah politik.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) juga meminta diberi kebenaran penggantungan perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang hingga permohonan pemindahan kes diputuskan Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, permohonan mengikut Seksyen 417 (1) (a), (b) dan (e) Kanun Acara Jenayah (KAJ) itu atas alasan satu perbicaraan berpatutan dan saksama tidak dapat dijalankan di mana-mana mahkamah rendah daripada Mahkamah Tinggi.

“Ia juga berdasarkan bahawa beberapa kesulitan luar biasa di sisi undang-undang akan timbul.

“Perintah itu (pemindahan kes) adalah suai manfaat bagi tujuan keadilan atau diperlukan oleh mana-mana KAJ,” katanya dalam notis usul difailkan firma guaman, Tetuan Hasshahari & Partners di Mahkamah Tinggi, semalam.

Pada 4 Oktober lalu, Mahkamah Sesyen menetapkan selama 12 hari bagi perbicaraan membabitkan Menteri Besar Kedah itu.

Tarikh perbicaraan ditetapkan pada Khamis dan Jumaat ini, selain 5, 8, 9, 12, 13, 15, 16, 19, 22, dan 23 Februari.

Muhammad Sanusi berdepan dua pertuduhan kerana didapati menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, Gombak, jam 11 malam, 11 Julai 2023.

Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang membawa kepada denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Muhammad Sanusi berkata, perbicaraan di Mahkamah Tinggi akan memudahkan pihak berkaitan merujuk isu undang-undang rumit yang akan dikemukakan kelak.

“Mahkamah Tinggi mempunyai keupayaan untuk memutuskan isu undang-undang tanpa memerlukan pihak-pihak merujuk kepada mahkamah lebih tinggi daripada Mahkamah Sesyen jika persoalan perundangan yang rumit timbul kelak.

“Pemohon adalah Menteri Besar Kedah dan subjek perkara kepada kedua-dua pertuduhan merujuk kepada Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong.

“Sudah pasti suatu perbicaraan yang berpatutan dan saksama tidak dapat dijalankan di mana-mana mahkamah rendah daripada Mahkamah Tinggi, pemohon ada alasan wajar dan khusus terhadap permohonan,” katanya. – BH

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat