KUALA LUMPUR – Umno Terengganu memfailkan petisyen di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 terhadap Perikatan Nasional (PN) di tiga Parlimen Kemaman, Marang dan Kuala Terengganu atas dakwaan memberi rasuah dan wang sogokan kepada pengundi di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said mendakwa, wang sogokan diberikan berjumlah sekitar RM500 ke RM1,000 kepada setiap isi rumah pada tarikh 15, 16 dan 17 November menjelang PRU15 yang berlangsung pada 19 November 2022.
“Pada 15, 16 dan 17 November 2022, PN menyalurkan dana i-siswa, i-belia dan i-pencen kepada pengundi di Terengganu termasuk pengundi luar yang balik mengundi.
“Meskipun itu memang dana khas kerajaan negeri Terengganu termasuk juga dana parti PN tapi diberikan sewaktu pilihan raya, secara moralnya tetap salah. Hasil siasatan di lapan Parlimen cuma saksi di tiga Parlimen ini sahaja mahu memberi kerjasama di mahkamah.
“Di Kampung Tok Hakim, Marang kita temui saksi yang mengaku “Wallahi, saya ambil duit, saya undi Pas”.Cuma tiga Parlimen itu saja sudi bagi kerjasama, ramai mengaku terima tapi bila sebut mahkamah mereka elak bagi kerjasama. Bahkan pada malam sebelum pilihan raya, penyokong PN sudah berkonvoi motosikal meraikan kemenangan di sekitar Kemaman,” dakwa Ahmad dalam sidang media di Menara Datuk Onn pada Isnin.
Jelas bekas Menteri Besar Terengganu itu lagi, petisyen berkenaan telah difailkan di Mahkamah Tinggi Terengganu pada 3 Januari 2023 dan sebelum itu laporan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dibuat.
Sementara itu, Peguam Umno, Amin Othman pada sidang media sama memberitahu, petisyen itu bertujuan membatalkan kemenangan tiga calon PAS di tiga Parlimen iaitu Kemaman, Marang dan Kuala Terengganu.
“Asas kepada petisyen itu ialah isu rasuah yang berlaku pada hari pengundian dan hari berkempen dah hantar petisyen kepada ketiga-tiga ahli Parlimen yang menang termasuk Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Mohon perintah mahkamah keputusan Parlimen dibatalkan atas isu rasuah.
“Saksi yang tampil lebih 20 orang dari ketiga-tiga Parlimen,” katanya.
Menurut beliau lagi, kes ini dirujuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 2018 diadakan semula susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Datuk C Sivarraajh pada PRU14 selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.
Untuk rekod Ahmad yang bertanding di Parlimen Kemaman tewas dengan majoriti 27,179 undi kepada calon PAS, Che Alias Hamid manakala Presiden PAS yang merebut kerusi Marang menang kerusi itu dengan majoriti 41, 729 menentang calon Barisan Nasional (BN) Jasmira Othman dan calon Pakatan Harapan (PH) Ustaz Azahr dan Pejuang, Zarawi Sulong.
Di Kuala Terengganu, calon PAS Datuk Amzad Hashim telah memenangi kerusi itu dengan majoriti 40,907 di pertembungan empat penjuru.-Suara.TV