Kerana Zahid, Anwar Bergelumang Dilema

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Barisan Nasional (BN)- Umno dari kelompok kes jenayah rasuah dan pecah amanah boleh diibaratkan sebagai virus yang sedang menjangkiti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim malah menegaskan, tiada vaksin boleh digunakan untuk menawarkan racun toksik ini dan jalan kesudahannya mungkin maut dan mati.

Justeru katanya, jika kolaborasi antara Anwar, PH dengan Timbalan Perdana Menteri 1(TPM1), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang bermasalah dengan kes jenayah diteruskan, maka Anwar akan beransur-ansur hilang reputasi seorang reformis.

Bukan cuma itu, Hassan juga mendakwa PKR memasuki fasa gerhana dan gelap manakala PH hilang integriti dan tidak dipercayai lagi.

“Jadi kerajaan pimpinan Anwar sekarang tidak dapat mengelak diri jika rakyat yang celik huruf dan ilmu pengetahuan bertanya satu soalan, iaitu bagaimana kerajaan yang ada sekarang boleh dihormati jika TPM1 terdiri dari sosok tubuh individu yang sedang dibicarakan di mahkamah atas berpuluh tuduhan jenayah rasuah dan pecah amanah?

“TPM1 sekarang berada di peringkat membela diri. Di akhir kes pendakwaan yang lalu, beliau telah didapati bersalah oleh Hakim kerana pihak Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

“Inilah yang saya simpati kepada Anwar. Inilah dilema Perdana Menteri kita sekarang,” ujar Hassan dalam catatan di Facebooknya pada Isnin.

Dalam satu segi, katanya komitmen Anwar untuk membawa tata kelola yang baik di dalam pentadbiran kerajaan tidak dipertikaikan oleh rakyat malah hasrat Anwar untuk mewujudkan satu pentadbiran kerajaan yang berintegriti mendapat restu dan dipercayai rakyat.

“Berpuluh tahun majoriti rakyat mimpikan Anwar menjadi Perdana Menteri. Termasuklah saya sendiri. Tetapi realiti yang wujud di siang hari bukannya mimpi indah itu tadi. Realitinya berbeza sama sekali.

“Inilah dilema Anwar. Tolak kerjasama dengan BN-Umno yang dipimpin oleh TPM1 bererti kerajaan Anwar tumbang. Anwar hilang jawatan. PH hilang kerajaan. Ramai yang akan meroyan.

“Meneruskan kerajaan yang ada sekarang dengan sokongan TPM1 dari kluster mahkamah sudah pasti menjejaskan imej Anwar, mencomotkan wajah PKR dan mencemarkan prinsip PH yang ingin membawa agenda reformasi institusi.

“Jadi apa jalan keluar yang ada pada Anwar, PKR dan PH? soal beliau.

Hassan turut mengemukakan senario hipotetikal ini sebagai contoh.

“Senario ini dikemukakan sebagai contoh sahaja dengan semangat baik sangka (bona fide) bukannya berniat jahat atau mala fide. Langsung sama sekali tidak berhasrat melakukan sub judis atau cuba menghina mahkamah (contempt of court).

“Saya kena sebut ini semua sebagai exclusion clause untuk mengelak diri kecil ini dari ditangkap dan dituduh di mahkamah atas kesalahan menghina mahkamah atau mungkin juga kesalahan fitnah jenayah atau lebih parah lagi dituduh di bawah Akta Hasutan.

“Senario hipotetikal itu seperti berikut, “apa jadi kalau kerajaan yang ada sekarang yang masih berkuasa dan dalam masa yang sama Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan TPM1 tidak bersalah dan dilepas serta dibebaskan dari berpuluh tuduhan jenayah yang dihadapinya?

“Saya percaya sudah pasti akan wujud keadaan di mana sesetengah rakyat akan cepat menuding jari dan menuduh Perdana Menteri, Anwar telah campur tangan dalam keputusan mahkamah itu. Walhal keadaan yang sebenarnya mungkin Anwar tidak bersalah kerana beliau tidak campur tangan urusan mahkamah seperti janji tegasnya selama ini yang mahu sistem mahkamah berfungsi dengan bebas,” ujarnya.

Fitnah ke atas Perdana Menteri akan terus berlaku,” tegas Hassan.

“Senario seterusnya ialah jika TPM1 didapati tidak bersalah dan dilepaskan, adakah Pendakwa Raya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Malaysia di Putrajaya? Pendakwa Raya adalah orang yang sama iaitu Peguam Negara yang berfungsi sebagai Penasihat Kerajaan di mana TPM1 adalah bos nombor dua dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan?

“Tidak wujudkah conflict of interest di pihak Kerajaan sama ada hendak membuat rayuan atau tidak membuat rayuan. Ini satu lagi dilema Anwar.

“Jika Pendakwa Raya yang juga Peguam Negara tidak membuat rayuan, sebagai contoh andaian, maka yang jadi mangsa fitnah tetap Perdana Menteri Anwar. Presiden PKR dan Pengerusi PH itu akan dituduh cuba menyelamatkan TPM1.

“Itulah susahnya dan dilemanya yang sekarang dihadapi Anwar kerana melantik TPM1 yang ada kes di mahkamah. Sebab itulah Institusi Yang diPertuan Agong dipandang mulia dan tinggi oleh rakyat kerana wujudnya Perkara 33(A)(1) di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sekali lagi, inilah dilema Anwar. Jika beliau tegas mengikut semangat dan konvensi perundangan perlembagaan dalam Perkara 33(A)(1) bermakna kerajaan perpaduan pimpinannya akan tumbang macam runtuhnya “daun terup”,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat