KUALA LUMPUR – Rata-rata rakyat Malaysia hari ini merungut apabila caj sebanyak RM1 untuk pengeluaran wang antara bank di mesin akan dilaksanakan semula pada Februari.

Semakan menunjukkan bahawa Maybank, CIMB, Citibank, HSBC dan beberapa bank lain telah mengumumkan di saluran media sosial masing-masing bahawa yuran berkenaan akan dilaksanakan semula.

Kerajaan memperkenalkan pengecualian caj pada sistem MEPS pada 6 April 2020. OCBC dan UOB bagaimanapun mengecualikan yuran sebulan lebih awal.

Langkah itu bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa perintah kawalan pergerakan tanpa perlu membayar caj RM1.

Satu kenyataan di laman web Maybank memberitahu, “sila maklum bahawa mulai 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 untuk pengeluaran Wang Tunai Antara Bank di ATM akan dilaksanakan semula oleh semua bank. Pelanggan Maybank masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM Maybank.

Caj RM1 adalah di bawah Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), yang pemegang saham terbesarnya ialah Bank Negara Malaysia.

Baki sahamnya pula dipegang oleh konsortium 11 bank.