Tun M perjelas dalil tolak belanjawan Kementerian Pendidikan 2021

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menyokong peruntukan belanjawan bagi Kementerian Pendidikan 2021 kerana merasakan dasar dan cara pendidikan perlu dikaji dan dipinda supaya lebih sesuai dengan keperluan anak muda masa depan.

Dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa Kementerian Pendidikan, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, merujuk kepada RM 215,500,000 diperuntukkan untuk Pendidikan Teknik dan Vokasional dan Program Pembangunan Kurikulum yang mana diperuntukkan RM15,963,000.

Jelasnya, rakyat rata-rata berpendapat bahawa dasar pelajaran atau pendidikan negara sudah tidak sesuai dengan peralihan zaman.

“Benar pendidikan bertujuan membekal anak muda dengan ilmu, tetapi ilmu perlu sesuai dengan cara hidup masa depan anak muda.

“Sesungguhnya dasar dan cara pendidikan perlu dikaji dan dipinda supaya lebih sesuai dengan keperluan anak muda di masa hadapan. Demikian juga dengan cara menyampai ilmu kepada penuntut di semua peringkat.

“ Saya dapati tidak ada apa-apa cadangan dalam belanjawan untuk pendidikan ke arah ini.

“ Sebab itu saya tidak dapat sokong peruntukan bagi Kementerian Pendidikan bagi tahun 2021,” ucap beliau.

Selain itu, kata Dr Mahathir, sistem mengajar juga perlu ditukar kerana perkembangan teknologi berkomunikasi yang mampu memperkenalkan ilmu dengan lebih mudah.

“Kita guna guru dalam darjah untuk menyampaikan ajaran ilmu kepada murid. Kita juga menyediakan buku untuk permudahkan perolehan ilmu.

“ Tetapi sekarang kita boleh sampaikan ilmu dengan mengguna komputer. Sebenarnya pengajaran yang disampaikan dalam Youtube umpamanya lebih mudah difahami kerana dianya disediakan oleh pakar dan dengan adanya gambar bergerak. Penuntut boleh ulang berkali-kali pelajaran yang disampaikan.

“ Sepatutnya semua pengajaran disediakan oleh guru pakar dalam disc atau thumb drive, telefon atau komputer yang lengkap dengan semua maklumat dan ilustrasi yang mudah difahami.

“ Guru darjah akan memandu murid mengikut pelajaran yang disediakan oleh guru pakar.

“ Selain dari cara ini untuk menyampai ilmu, kerja praktikal juga diperlukan supaya lebih mudah murid memahami isi kandungan pelajaran,” katanya.

Susulan itu, beliau berharap pihak kerajaan akan kaji dan perkenal cara mengajar zaman teknologi ini.

“ Melalui internet, kita boleh dapat pelajaran dari guru pakar. Guru darjah akan memimpin pelajar mengikuti pelajaran yang sudah disediakan oleh guru pakar.

“ Sudah tentu dalam mempelajari Bahasa Inggeris kursus yang disedia oleh pakar, yang membolehkan kita dengar perkataan-perkataan yang betul serta susunan ayat, akan permudah kita mengikuti dan mengulangi apa sahaja berkali-kali sehingga terlekat dihati,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, kita orang Islam memang wajib mengetahui agama Islam yang kita anuti.

“Tetapi kita juga wajib sediakan diri untuk dunia di waktu mana kita perlu bekerja untuk membiayai kehidupan kita. Adalah penting masa untuk mempelajari agama diagih supaya masa untuk kehidupan duniawi mencukupi.

“ Di zaman ini ilmu sains dan matematik amatlah penting.Ilmu-ilmu ini tidak statik tetapi berubah-ubah sepanjang masa hasil kajian yang dibuat oleh para penyelidik.

“Hampir semua dari kajian ini disedia dalam Bahasa Inggeris. Menterjemah ke dalam Bahasa Kebangsaan memerlukan pakar sains yang terpelajar dalam ilmu sains, serta fasih dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

“Oleh kerana ilmu-ilmu baru ini amat banyak dan luas, menterjemah memerlu ramai pakar sains yang fasih dalam bahasa-bahasa berkenaan. Kita tidak ada penterjemah seperti ini,” jelasnya.

Sebaliknya ujar beliau, jika ilmu sains dan matematik ini diajar dalam Bahasa Inggeris penuntut boleh akses semua ilmu baru yang relevan sendiri, tanpa pakar penterjemah. Apabila menerus pelajaran di luar negeri Bahasa Inggeris amatlah penting.

“ Apabila kita sudah kuasai ilmu ini dengan mendalam dan kita juga membuat penyelidikan, pada masa itu kita boleh guna bahasa kita. Sesungguhnya pada satu masa dahulu bahasa ilmu ialah Bahasa Arab. Orang Eropah terpaksa belajar Bahasa Arab untuk mengejar ilmu Arab.

“ Sebenarnya para pakar sains dari kaum bukan Inggeris pun masih guna Bahasa Inggeris untuk perkenal hasil kaji selidik mereka dan juga semasa berbincang berkenaan sains dalam majlis akademik. Demikian juga dengan matematik yang penting untuk menghantar roket ke Space Station dan bulan,” katanya.

Beliau menambah, berkenaan mengetahui ajaran agama kita, katanya fardhu ain memang diwajibkan ke atas kita. Tetapi Fardhu kifayah juga penting bagi seorang yang ingin amal cara hidup Islam.

“ Sebab itu, Fardhu kifayah perlu diajar, khusus berkenaan cara hidup Islam. Ini bermakna mengetahui nilai hidup yang perlu diamal oleh orang Islam mengikut al- Quran dan hadith yang sahih.

“ Ilmu yang diperolehi oleh orang yang tidak amal nilai hidup Islam akan disalah guna dan akan menghasilkan keburukan kepada diri sendiri, kepada Islam dan masyarakat Islam. Inilah yang kita lihat apabila orang Islam membunuh orang, termasuk orang Islam – sesuatu yang dilarang oleh agama Islam,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat