Menilai Pencapaian Reformasi Kerajaan MADANI

- Advertisement -

Dalam landskap politik yang sering dicemari oleh ketidaktentuan dan kontroversi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato’ Sri Azalina Othman Said muncul sebagai antara pemimpin utama yang memperjuangkan reformasi institusi di Malaysia.

Di bawah kepimpinan beliau, isu-isu kompleks seperti pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat (FOI), dan pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat telah menerima perhatian yang serius.

Pendekatan Azalina yang inklusif dan sistematik memperlihatkan kesedaran bahawa reformasi institusi bukan sahaja satu keperluan, tetapi satu tanggungjawab besar yang memerlukan perancangan rapi.

Libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pakar antarabangsa dan badan-badan bukan kerajaan, menonjolkan keterbukaan beliau terhadap pandangan yang berbeza.

Namun, yang lebih besar terletak pada kemampuan Kerajaan MADANI, di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memastikan kesinambungan dan keberkesanan reformasi ini.

Kerajaan MADANI: Dari Retorik ke Realiti

Kerajaan MADANI telah menetapkan misi besar untuk memperkukuh institusi negara, memulihkan integriti sistem kehakiman, dan membina semula kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Namun, seperti yang ditegaskan oleh pelbagai badan masyarakat sivil, reformasi institusi mesti melangkaui retorik.

Ia memerlukan tindakan nyata yang disokong oleh pelaksanaan yang tegas dan garis masa yang jelas.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), misalnya, telah menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Tuntutan ini tidak hanya soal teknikal tetapi mencerminkan aspirasi rakyat untuk melihat sebuah sistem keadilan yang bebas daripada tekanan politik.

Langkah ini adalah penting kerana peranan Peguam Negara yang juga merupakan Pendakwa Raya boleh menimbulkan konflik kepentingan.

Sebagai seorang pegawai kerajaan yang sepatutnya memberi nasihat undang-undang kepada kerajaan,

Peguam Negara turut memikul tanggungjawab sebagai pendakwa raya dalam kes-kes jenayah.

Pemisahan kedua-dua fungsi ini akan memastikan bahawa keadilan dapat ditegakkan tanpa sebarang bentuk tekanan atau campur tangan yang boleh mencemarkan integriti sistem perundangan negara.

Azalina telah menekankan bahawa pemisahan ini bukan sahaja perlu dilakukan dengan penuh pertimbangan tetapi juga berdasarkan bukti dan kajian empirikal.

Beberapa negara seperti Kanada, Australia, dan United Kingdom yang telah melalui proses serupa menjadi rujukan penting dalam kajian ini.

Beliau turut membentangkan garis masa dan carta perbatuan yang penting dalam menuju ke arah pemisahan ini.

Menjawab Seruan untuk Penubuhan Ombudsman Malaysia

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di bawah Jabatan Perdana Menteri telah menyatakan komitmen untuk menubuhkan sebuah badan ombudsman bagi menangani aduan rakyat terhadap agensi kerajaan.

Penubuhan Ombudsman Malaysia ini mendapat sokongan meluas daripada pertubuhan masyarakat sivil seperti IDEAS dan Reform, yang melihatnya sebagai langkah penting untuk meningkatkan akauntabiliti perkhidmatan awam.

Namun, cabaran bagi Kerajaan MADANI adalah memastikan ombudsman yang diwujudkan benar-benar bebas dan berkesan.

Sebarang bentuk kawalan politik ke atas institusi ini akan melemahkan kredibilitinya.

Kerajaan perlu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam membentuk struktur dan fungsi ombudsman ini, sambil memastikan ia selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

Apa yang penting adalah usaha daripada penjawat awam sendiri yang perlu keluar daripada kepompong hierarki jabatan untuk bekerjasama memastikan terdapat perhatian yang khusus terhadap keperluan rakyat.

Seringkali niat baik pembuat polisi tergendala akibat daripada kegagalan sistem dan birokrasi yang menyukarkan pelaksanaan dijalankan.

Akta Kebebasan Maklumat: Membangun Ketelusan

Penggubalan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) merupakan satu lagi langkah penting dalam agenda reformasi kerajaan.

FOI akan membuka ruang kepada rakyat untuk mengakses maklumat awam, sekali gus meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti kerajaan. Syed Ibrahim Syed Noh, Ketua KRPPM-IGAR, menegaskan bahawa FOI adalah asas kepada demokrasi yang matang.

Namun, seperti yang dinyatakan oleh beberapa aktivis, keberkesanan FOI bergantung kepada sejauh mana akta ini dilaksanakan.

Jika terlalu banyak sekatan atau pengecualian dikenakan, matlamat asalnya akan terbantut.

Oleh itu, kerajaan perlu memastikan FOI dirangka dengan jelas, dengan definisi yang tepat mengenai maklumat yang boleh diakses oleh rakyat.

Memperkukuh Perlindungan Pemberi Maklumat

Pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) juga menjadi salah satu fokus utama kerajaan.

Langkah ini penting untuk menggalakkan lebih ramai individu tampil ke hadapan melaporkan kesalahan, terutamanya dalam sektor awam.

Tuntutan oleh badan-badan seperti BERSIH agar akta ini diperkukuh mencerminkan keperluan mendesak untuk melindungi pemberi maklumat daripada tindakan balas dendam.

Pada masa yang sama, mekanisme perlindungan mesti ditingkatkan, termasuk menyediakan saluran rahsia untuk pemberian maklumat dan memperkenalkan hukuman yang lebih tegas terhadap mereka yang mengancam atau menghukum pemberi maklumat.

Kerajaan juga perlu berhati-hati dalam melaksanakan perkara ini dan peraturan perlindungan juga mesti jelas agar tidak berlaku salah guna kuasa dan pelaporan palsu bertujuan untuk menganiaya individu-individu tertentu.

Reformasi Pilihan Raya dan Pelantikan Awam

BERSIH juga menyeru agar pelantikan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilakukan melalui Parlimen untuk memastikan badan itu benar-benar bebas.

Selain itu, reformasi sistem pilihan raya yang lebih adil, termasuk semakan terhadap persempadanan kawasan pilihan raya, menjadi tuntutan yang semakin mendesak.

Kerajaan MADANI perlu menunjukkan keberanian politik untuk mendepani perkara ini dengan mengambil kira keperluan semasa dan peratuan sedia ada tanpa membelakangi mana-mana pemegang taruh.

Kestabilan Politik sebagai Peluang Emas

Selepas bertahun-tahun mengalami ketidaktentuan politik, Malaysia kini menikmati kestabilan di bawah Kerajaan MADANI.

Ini adalah peluang emas untuk melaksanakan reformasi yang telah lama tertangguh.

Namun, seperti yang diingatkan oleh Pengerusi BERSIH, Muhammad Faisal Abdul Aziz, kestabilan ini tidak seharusnya menjadi alasan untuk kerajaan berasa selesa.

Sebaliknya, ia mesti dimanfaatkan untuk membawa perubahan struktur yang signifikan.

BERSIH, IDEAS, dan Reform telah menekankan bahawa reformasi institusi adalah kunci kepada keberlangsungan demokrasi Malaysia.

Tanpa perubahan struktur yang mendalam, kestabilan politik yang ada sekarang mungkin hanya bersifat sementara.

Memenuhi Aspirasi Rakyat dan Kekal Relevan

Kerajaan MADANI perlu memahami bahawa rakyat Malaysia semakin celik politik dan tidak mudah terpengaruh dengan retorik kosong.

Untuk kekal relevan, kerajaan mesti memenuhi aspirasi rakyat dengan melaksanakan reformasi institusi yang nyata dan berkesan.

Sebagai langkah strategik, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk:

  • Menetapkan garis masa yang jelas bagi setiap agenda reformasi dan memastikan kemajuan ini dilaporkan secara berkala kepada rakyat.
  • Meningkatkan libat urus dengan pertubuhan masyarakat sivil untuk mendapatkan pandangan yang lebih luas dan memastikan reformasi yang dilaksanakan benar-benar inklusif.
  • Memastikan ketelusan dalam pelaksanaan reformasi, termasuk memberikan akses kepada dokumen-dokumen penting dan perbincangan yang berkaitan.

Reformasi sebagai Agenda Nasional

Reformasi institusi bukan sekadar projek kerajaan semasa tetapi adalah agenda nasional yang akan menentukan masa depan Malaysia.

Dengan sokongan rakyat, badan masyarakat sivil, dan komitmen politik yang padu, Malaysia berpeluang menjadi model kepada negara-negara lain dalam membina sistem yang adil, telus, dan bertanggungjawab.

Kini adalah masa untuk bertindak, kerana kegagalan untuk merebut peluang ini hanya akan membawa kembali kitaran ketidaktentuan yang merugikan.

Oleh Danesh Chandrakumar, Aktivis Masyarakat Sivil

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat