KUALA LUMPUR -Kelakuan segelintir wakil rakyat di negara ini tidak layak dipanggil Yang Berhormat (YB) kerana budaya jual beli dan lompat di Parlimen.
Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin berkata, wakil rakyat di negara ini tidak peduli hukum-hakam, ikrar dan janji, prinsip dan pegangan dalam perjuangan politik sebaliknya mencari keuntungan.
“Jual beli dan lompat melompat wakil rakyat di Parlimen Malaysia mengingatkan saya kepada lawatan ke Oman pada tahun 1986 atas jemputan kerajaan negara tersebut. Walaupun dipanggil Pasar Kambing tetapi berbagai-bagai binatang ternakan seperti lembu, biri-biri dan unta dijual.
“Parlimen Malaysia pun lebih kurang juga. Macam-macam jenis jual beli dan lompat melompat berlaku. Cuma haiwan yang dijual beli di Nizwa itu tidak dipilih oleh puluhan ribu pengundi dan dibayar gaji lumayan daripada duit cukai rakyat jelata.
” Jadi haiwan yang dijual beli di zouk (pasar/bazar) Nizwa itu tidaklah terhutang budi atau janji kepada sesiapa. Tapi wakil rakyat pun ada yang jadi lebih kurang macam itu.
“Mereka tidak peduli hukum-hakam, ikrar dan janji, prinsip dan pegangan. Yang mereka nampak adalah rumput yang lebih hijau di ladang sebelah. Jadi mereka pun lompat,” catat A.Kadir di Facebooknya pada Rabu.
Bagaimanapun A.Kadir kurang bersetuju melabel wakil rakyat yang melompat sebagai katak.
“Kita selalu kiaskan ahli politik macam ini sebagai katak. Saya rasa tak berapa tepat sebab adalah rasmi katak melompat.
“Lagipun lebih banyak yang lompat ini adalah wakil rakyat Melayu. Di Malaysia kita ini, bila kata Melayu tentulah Islam. Orang Islam tidak makan katak. Kalau berjual beli katak pun untuk memancing atau bagi makan haiwan ternakan.
“Jadi saya sengaja kiaskan dengan lembu, kerbau atau kambing yang orang Melayu pelihara dan makan dagingnya.
“Haiwan-haiwan ini rasminya tidak melompat. Kalau melompat pun sekali sekala sahaja kerana gembira atau menyeberang sesuatu halangan macam parit dan pagar.
“Tapi maaf cakaplah kalau saya kata, kelakuan sesetengah wakil rakyat Malaysia tidak layak bagi dipaggil Yang Berhormat,” kata beliau.