KUALA LUMPUR, – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyambut baik penegasan kerajaan dalam Belanjawan 2026 bahawa bahasa Melayu terus diangkat sebagai teras identiti bangsa dan wahana pemikiran kebangsaan.
Presidennya, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, berkata ucapan Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada Jumaat lalu membuktikan komitmen kerajaan untuk memperkukuh fungsi bahasa Melayu bukan sahaja sebagai alat komunikasi, tetapi juga sebagai bahasa ilmu, budaya dan perpaduan kebangsaan.
Menurut beliau, iltizam kerajaan untuk memastikan bahasa Melayu kekal sebagai bahasa ilmu di semua sekolah dan aliran adalah langkah penting dalam menegakkan dasar bahasa kebangsaan yang menjadi asas pembinaan negara.
“Pelaksanaan dasar tersebut perlu disertai pemantauan tegas agar tidak berlaku kecuaian seperti yang dilaporkan di sekolah-sekolah antarabangsa.
Bahasa Melayu tidak boleh dipinggirkan di mana-mana institusi pendidikan yang menempatkan anak watan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PENA juga mengalu-alukan pewujudan semula Hadiah Bahasa yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, menyifatkannya sebagai pengiktirafan terhadap bakat dan sumbangan para penulis tempatan.
Dr. Mohamad Saleeh berkata, langkah itu menandakan kesungguhan kerajaan MADANI memperkasakan warisan bahasa Melayu sebagai lambang maruah dan keunggulan tamadun bangsa.
Beliau menambah, pengiktirafan ini perlu disertai dengan pelan strategik jangka panjang untuk memperkukuh ekosistem bahasa dan kesusasteraan negara — termasuk penyelidikan, penerbitan karya ilmiah dan kreatif, serta program pemupukan minat menulis dalam kalangan generasi muda.
“Pengiktirafan secara konkrit begini wajar diwartakan agar pelaksanaannya berterusan, tidak terhenti apabila kepemimpinan bertukar,” katanya lagi.
Dalam masa sama, PENA menegaskan bahawa keutamaan terhadap bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan mesti dilaksanakan tanpa menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
“Kita wajib menyeimbangkan penguasaan kedua-dua bahasa ini secara bijaksana.
Bahasa Melayu mesti kekal sebagai bahasa teras pendidikan dan pentadbiran negara, sementara bahasa Inggeris berperanan sebagai bahasa antarabangsa yang membuka akses global,” tegas beliau.
PENA berharap semangat yang dizahirkan dalam Belanjawan 2026 dapat direalisasikan melalui pelaksanaan berkesan agar bahasa Melayu terus menjadi bahasa ilmu yang mengangkat tamadun bangsa Malaysia.



