KUANTAN: Kesediaan Presiden Pas, Tan Sri Abdu Hadi Awang untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO tanpa melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak ikhlas dan mementingkan parti mereka sahaja.
Menurut Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak nampak cadangan kerjasama ini dibuat atas dasar kepentingan Melayu dan Islam.
Katanya lagi, Abdul Hadi cuba memecahbelahkan UMNO yang semakin hari semakin kukuh.
”Saya ingin mengulas mengenai kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang bersedia untuk menjalin semula kerja sama dengan UMNO tanpa perlu melibatkan Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
”Bagi saya kenyataan Tan Sri Abdul Hadi itu tidak ikhlas serta hanya mementingkan parti mereka sahaja dan saya tidak nampak cadangan kerjasama ini dibuat atas dasar kepentingan Melayu dan Islam.
”Jika Abdul Hadi ikhlas kenapa hendak ketepikan Presiden kami. Adakah Abdul Hadi cuba memecahbelahkan UMNO yang semakin hari semakin kukuh,” kata Wan Rosdy menerusi kenyataan Facebooknya, pada Ahad.
Menurut Wan Rosdy lagi, jika PAS berhasrat untuk mengadakan bentuk kerjasama, mereka harus berbincang dengan Presiden UMNO.
Tegasnya, UMNO meletakkan institusi Presiden yang mengetuai parti untuk menentukan arah tuju parti.
”UMNO ada ketuanya yang memimpin dan jika PAS berhasrat untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama, seharusnya perlu berbincang dan berunding dengan Presiden kami.
”Ini kerana UMNO meletakkan institusi Presiden yang mengetuai parti untuk menentukan arah tuju parti.
”Saya melihat Presiden UMNO berpijak tidak berkisar, bercakap tidak beralih, berani menahan uji, setia tahan dicuba dan taat tahan dilipat.
”Dalam pada itu, UMNO sentiasa terbuka untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak termasuklah PAS,” ujar Wan Rosdy.
Kata Wan Rosdy lagi, UMNO juga boleh meletakkan syarat untuk berunding tanpa melibatkan Tan Sri Abdul Hadi.
PAS seperti terdesak, hakikatnya sewaktu dalam Muafakat Nasional (MN) PAS tidak pernah ikhlas untuk bersama UMNO.
”Cuma kalau PAS benar-benar hendak kembali untuk bekerjasama, kita boleh berunding tetapi dengan syarat tidak melibatkan Tan Sri Abdul Hadi.
”PAS jangan masa terdesak sahaja hendak mencari UMNO, hakikatnya sewaktu Muafakat Nasional berlangsung, PAS tidak ikhlas pun untuk bersama UMNO.
”Oleh itu, sebagai Naib Presiden UMNO, saya tidak berminat untuk membuat sebarang perundingan yang membelakangkan ketua saya serta melaga-lagakan ahli-ahli UMNO,” katanya.
Terdahulu, PAS akan terus mengajak Umno menyertai gagasan Muafakat Nasional (MN), dengan syarat tidak melibatkan presiden parti itu, Zahid Hamidi.
Presiden PAS Hadi Awang mendakwa, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin UMNO selain Zahid bagi membincangkan agenda menghidupkan semula MN ‘sebenar’.
“Yang asal kita bincang ialah penyatuan orang Melayu Islam dan Bumiputera, sebabkan pihak2 Umno, (tetapi) tidak Zahid, pemimpin Umno masa Zahid cuti, kita setuju kumpul Ahli Parlimen Bumiputera untuk (bincang) ambil alih kerajaan bersama Bersatu.
(Kita cadang hendak) tarik pemimpin-pemimpin Melayu Bumiputera, termasuk dalam kalangan bukan Islam dan tidak ekstrem,
katanya pada sidang media Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, Temerloh.