KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi penghormatan terakhir kepada mendiang bekas Menteri Kerjaraya, Tun Dr S.Samy Vellu di kediamannya di Jalan Ipoh, sebentar tadi.
Menyambut ketibaan Perdana Menteri adalah Menteri Sumber Manusia Datuk M.Saravanan, balu mendiang Toh Puan, Datuk Seri Vell Paari dan ahli keluarga.
Terdahulu menerusi kenyataan Facebook Ismail Sabri, mendiang banyak memainkan peranan dalam pembangunan rangkaian jalan raya dalam negara.
Tun Samy Vellu merupakan pejuang dan bapa penyatuan masyarakat kaum India serta menjadi mentor kepada pemimpin MIC sepanjang dan selepas kepemimpinannya.
Bekas Presiden MIC itu meninggal dunia di kediamannya di Kuala Lumpur pada usia 86 tahun. Perkara itu disahkan bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam dalam satu kenyataan di Facebook beliau pagi tadi.
Mengenang jasa mendiang, Dr Subramaniam yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, Sammy Vellu memberi sumbang besar terhadap negara dan masyarakat India.
Antara sumbangan besar mendiang adalah mewujudkan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Universiti AIMST dan Kolej Tafe.-SUARATV