KUALA LUMPUR – Pemuda Umno memilih untuk tidak berterusan meratapi kegagalan Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebaliknya mencari punca kekalahan dan solusinya.
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh berkata, post-mortem diperlukan agar menjadi titik tolak perubahan Umno kepada yang lebih baik.
“Usah meratapi kegagalan yang lepas, kita perlu bangkit melakukan perubahan demi kebaikan parti ini.
“Kepada semua Pemuda Umno baik di cawangan mahupun di bahagian di seluruh negara, saya menjemput untuk hadir bersama-sama kita mencari punca kekalahan dan solusinya.
“Kita pastikan suara keramat Pemuda Umno kali ini menjadi titik tolak perubahan Umno kepada yang lebih baik,” seru Dr Akmal.
Tegas beliau, Umno milik rakyat bukan milik individu.
“Kita kembalikan zaman kegemilangan Umno yang dulu,” katanya di Facebook pada Selasa.
Ekoran hantaran itu mendapat sambutan hangat daripada Pemuda Umno, Dr Akmal menyatakan post-mortem itu akan menjelajah kesemua negeri.
“Alhamdulilah kita menerima ramai respon ahli-ahli di bawah untuk hadir ke post-mortem pemuda Umno pada Khamis ini dan ada juga yang menyatakan supaya boleh dilakukan di setiap negeri untuk mana-mana yang tidak dapat hadir pada Khamis ini.
“Memandangkan kapasiti dewan yang ada begitu terhad dan permintaan untuk diadakan beberapa siri di setiap negeri,maka untuk fasa pertama ini kita akan buka dulu kepada pimpinan G5 setiap Pemuda UMNO bahagian sahaja untuk hadir.
“Insya-Allah kita akan buat jelajah seluruh negeri agar sesi post-mortem ini akan lebih terfokus dan boleh melibatkan lebih ramai ahli di bawah untuk hadir.
“Jadual sesi post-mortem seluruh negara akan kita keluarkan nanti,” ujar beliau.
Khamis, 17 Ogos ini Pemuda Umno menganjurkan post-mortem PRN Enam Negeri yang mengangkat tajuk “Di mana salah kita” yang akan berlangsung di International Youth Centre, Jalan Yaacob Latif, Kuala Lumpur pada jam 7 malam.