Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun meletakkan jawatan serta-merta.
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, asas desakan itu susulan keputusan mahkamah membuktikan bahawa segala dakwaan dan tohmahan jahat terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti Bersatu adalah suatu fitnah.
“Alhamdulillah, saya panjatkan kesyukuran kehadrat Allah atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang telah melepaskan dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada 4 pertuduhan di bawah Akta SPRM berkaitan sumbangan dana politik kepada parti Bersatu.
“Oleh yang demikian dan berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi pada hari ini, Armada Bersatu
mendesak agar Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun meletakkan jawatan serta-merta,” desak beliau dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Ahli Parlimen Machang itu, Sabtu lalu dalam PRN di enam negeri rakyat telah bersuara dan hari ini mahkamah juga telah bersuara.
“Saya mewakili seluruh ahli dan kepimpinan Armada juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah buat barisan peguambela yang diketuai oleh Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang telah menjalankan tugas dengan profesional dan jayanya sehingga keputusan ini berjaya diperolehi.
“Adalah amat jelas bahawa sejak mula lagi, pertuduhan ini amat cacat dan bermotifkan politik untuk mencemarkan nama baik Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti Bersatu,” katanya.
Tambah Wan Ahmad Fayhsal lagi, mahkamah pada hari ini juga mendapati bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap Muhyiddin adalah tidak berasas justeru tidak dapat dipertahankan.
“Pertuduhan ini jelas direka-reka bagi tujuan politik khususnya untuk melemahkan parti Bersatu dan mempengaruhi sokongan rakyat sebelum PRN diadakan.
“Keputusan hari ini membuktikan bahawa segala dakwaan dan tohmahan jahat terhadap YB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti Bersatu adalah suatu fitnah.
“Walaubagaimanapun saya amat bersyukur pada hari ini, kebenaran telah terbukti dan ditegakkan,” katanya.