KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, diberitahu bahawa isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Al-Bukhary berlaku ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Peguam, Guok Ngek Seong yang mewakili bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata surat yang dikeluarkan dan ditandatangani pengerusi yayasan itu, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, pada 5 Februari 2021 menunjukkan gambaran jelas berhubung perkara berkenaan.
Ngek Seong berkata demikian melalui pernyataan pembukaan dalam kes saman Guan Eng terhadap Muhyiddin yang didakwa mengeluarkan tiga kenyataan fitnah membabitkan isu pembatalan pengecualian cukai ke atas yayasan berkenaan, pada 9, 11 dan 12 Mac tahun lalu melalui laman Facebook milik Ahli Parlimen Pagoh itu.
Menurut peguam itu, perkataan yang digunakan Syed Mokhtar dalam surat berkenaan adalah sangat jelas, iaitu ‘baru-baru ini’ yang hanya boleh bermaksud ia berdasarkan kepada tarikh 5 Februari 2021.
“Ia hanya boleh bermakna bahawa pembatalan itu sememangnya berlaku ketika defendan (Muhyiddin) menjadi Perdana Menteri.
“Surat daripada Tan Sri Syed Mokhtar itu tidak menyatakan plaintif (Guan Eng) atau Kerajaan Pakatan Harapan (yang jatuh pada akhir Februari 2020 disebabkan Langkah Sheraton yang mana defendan memainkan peranan penting bersama beberapa Ahli Parlimen lain meliputi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin), sebagai orang yang bertanggungjawab dengan pembatalan terbabit.
“Walau apapun, dokumen akan dikemukakan di mahkamah juga akan menunjukkan tidak ada satu pun bukti atau dokumen boleh membuktikan bahawa plaintif yang menyebabkan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Al-Bukhary dibatalkan,” memetik laporan BH pada Isnin.
Malah, Ngek Seong berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah membuat kenyataan pada sidang Parlimen, 21 Mac 2023, yang didakwa membongkar dan mendedahkan kenyataan fitnah defendan.
Beliau berkata, Anwar memaklumkan bahawa anak guamnya tidak pernah membatalkan status pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Al-Bukhary.
Katanya, keterangan yang akan dikemukakan di mahkamah akan menunjukkan dengan jelas, pembelaan defendan semuanya penuh dengan pembohongan, tidak berasas, tidak disokong dan adalah pembelaan palsu.
Beliau berkata, defendan mengetahui kandungan surat dikeluarkan oleh Syed Mokhtar kepadanya, dan mendakwa satu-satunya penjelasan mengapa Muhyiddin terus mengeluarkan kenyataan fitnah secara terang-terangan dengan menyerang plaintif, adalah kerana survival politik.
“Ini adalah penting bagi defendan kerana beliau ketika itu menghadapi kemungkinan didakwa di mahkamah,” katanya.
Pada 27 Mac tahun lalu, Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin yang didakwa mengeluarkan tiga kenyataan memfitnah yang mana laporan berhubung perkara itu kemudian diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita pada hari sama.
Guan Eng mendakwa, kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan berkenaan, apabila ia tidak patut dikenakan cukai.
Prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain, bersambung petang ini.