KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pindaan berkait Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) bagi memperkasakan undang-undang syariah tidak dilakukan secara gopoh.
Menurut Anwar, ia perlu dilakukan secara teliti dengan mengambil kira pandangan semua pihak sama ada Mahkamah Syariah dan mahkamah sivil, pakar undang-undang dalam negara dan antarabangsa.
Katanya, ini kerana sebaik sahaja dibentangkan, ia akan menjadi satu dokumen yang kukuh serta disepakati oleh semua negeri, mufti dan ulama.
“Malah, saya telah meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar untuk cuba menyelaraskan dan minta pandangan pakar perundangan, kerana harus dijadikan dokumen penting yang boleh ditelaah oleh pakar antarabangsa.
“Ini bukan satu dalil untuk melengahkan atau untuk meremehkan usaha lalu, malah kita memang memanfaatkan tetapi memang ada kelemahan besar dalam peruntukan.
“Jadi bukan sahaja dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) tapi harus rujuk pakar antarabangsa. Kefahaman itu perlu menyeluruh, katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia, di Putrajaya pada Isnin, lapor FMT.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau telah menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bagi memaklumkan perkembangan tersebut.
“Insya-Allah Ogos ini, kita bentangkan. Namun berdasarkan perbincangan saya dengan Sultan Nazrin, sebaiknya diangkat kepada pihak antarabangsa, rujuk semula sebelum dirujuk kepada AGC.
Kemudian kepada sidang Majlis Raja-Raja Melayu, kerana soal Islam dan adat mesti mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja, katanya.
Sebelum ini, Anwar turut menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pengerusi MKI bagi meneruskan perbincangan mengenai pindaan berkait RUU355.