Kedah digesa jana pendapatan baharu, bukan minta rakyat miskin berhenti minta bantuan – Mahdzir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kedah disaran mencari jalan untuk menjana pendapatan baharu bagi membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan dan membela rakyat miskin di negeri Jelapang Padi itu.

Saranan itu disuarakan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau malah menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk melaksanakan tanggungjawab membantu golongan miskin dan bukannya meminta mereka berhenti meminta bantuan daripada Kerajaan PAS negeri itu.

“Bagi saya, sebagai seorang Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat Kedah, beliau seharusnya memikul tanggungjawab membantu rakyat miskin di negeri itu dan bukannya mengeluarkan kenyataan supaya rakyat miskin jangan lagi menjadikan meminta bantuan daripada kerajaan PAS sebagai satu budaya hidup.

“Itu boleh dianggap sebagai satu penghinaan kepada golongan miskin dan sudah tentu ia amat mengecewakan rakyat apabila seorang Menteri Besar meminta rakyat jangan lagi bergantung harap dengan meminta bantuan daripada kerajaan PAS”, katanya dalam satu kenyataan kepada pada Sabtu.

Mahdzir berkata demikian mengulas kenyataan Sanusi dalam satu rakaman video ucapannya pada satu majlis yang tular di platform media sosial Tiktok baru-baru ini.

Ujarnya, rakaman itu memaparkan ucapan Sanusi yang meminta rakyat miskin di Kedah berhenti menjadikan budaya meminta bantuan daripada kerajaan dan wakil Rakyat PAS, seperti bantuan baiki dinding dan bumbung rumah.

Jelas Mahdzir, rakyat Kedah yang memilih dan mengundi pimpinan PAS untuk menerajui negeri itu sudah tentu mengharapkan kepimpinan kerajaan memainkan peranan yang berkesan dalam membantu rakyat miskin yang memerlukan bantuan.

“Mengapa pimpinan PAS ketika berkempen dalam pilihan raya tidak menyebut perkara itu dengan meminta rakyat jangan meminta bantuan daripada wakil rakyat kalau mereka menang?

“Kenapa sekarang apabila menjadi kerajaan selepas menang dalam pilihan raya, kerajaan negeri meminta rakyat miskin jangan lagi minta bantuan daripada wakil rakyat PAS?

“Adakah itu membawa maksud pimpinan kerajaan negeri mahu melarikan diri daripada tanggungjawab terhadap rakyat? katanya.

Mahadzir menuntut Kerajaan Negeri Kedah supaya merangka strategi khusus bagi mencari jalan penyelesaian untuk menghapuskan kemiskinan di negeri itu.

“Kalau di zaman Umno dan BN memerintah dahulu, kita memang meletakkan agenda membasmi kemiskinan rakyat itu sebagai agenda utama yang perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukannya secara ‘one off’.

“Kita pun tak pernah sebut supaya rakyat jangan minta bantuan daripada kerajaan Umno dan BN ketika kita memerintah. Tetapi kerajaan PAS yang memerintah hari ini enggan melaksanakan amanah dan tanggungjawab membantu rakyat miskin.

“Berbeza dengan Umno dan BN sekarang ini walaupun sudah tidak menjadi kerajaan di negeri Kedah, tetapi kita masih lagi mendekati rakyat miskin dengan menghulurkan pelbagai bantuan kerana itu budaya yang sudah menjadi amalan bagi Umno dan BN untuk membantu rakyat dan kita tidak pernah merungut atau meminta rakyat jangan lagi minta bantuan kita,” tegas beliau.

Selain itu, Mahdzir juga menuntut Kerajaan Kedah mengambil tanggungjawab melaksanakan usaha seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan yang menggerakkan usaha penstrukturan semula ekonomi negara pasca Covid-19.

“Menerusi agenda Membangun Malaysia Madani, kita lihat Perdana Menteri banyak menumpukan kepada usaha membasmi kemiskinan bandar dan luar bandar, golongan nelayan, pesawah, penoreh getah, peniaga kecil, kumpulan pelajar dan mahasiswa serta pekerja e-hailing.

“Begitu juga dengan sektor pendidikan, pertanian, bidang kesihatan dan infrastruktur yang diberikan perhatian khusus”, kata Mahdzir.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat