SHAH ALAM, 14 Mei – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas kejadian tragis yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kemalangan di Teluk Intan, Perak, pada Selasa lalu.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik oleh Selangor Royal Office di Facebook rasmi, Baginda berdua turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan waris anggota-anggota terlibat dalam insiden menyayat hati itu.
Dalam titahnya, Sultan Sharafuddin menekankan perlunya pihak kerajaan memberi perhatian yang serius terhadap kes kemalangan jalan raya, khususnya yang melibatkan kenderaan berat.
“Baginda dukacita kerana sudah beberapa kali menyuarakan kebimbangan mengenai isu ini, terutama apabila melibatkan pemandu atau syarikat yang cuai dan tidak mematuhi syarat keselamatan,” menurut titah tersebut.
Baginda juga menyeru agar pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas, termasuk menarik balik lesen memandu pemandu yang didapati bersalah dalam kes kemalangan maut atau kecederaan serius.
“Sekiranya mereka terbukti menjadi punca kepada kemalangan, tindakan bukan sekadar denda atau penjara. Lesen memandu juga patut dibatalkan sebagai langkah memberi pengajaran kepada pemandu lain supaya lebih bertanggungjawab di jalan raya,” titah Baginda.
Titah itu turut menekankan kepentingan pemilihan pemandu dan kelindan yang berkelayakan oleh syarikat pengendali lori, bas dan kenderaan berat lain, serta keperluan untuk tidak memandang ringan aspek seperti kondisi kenderaan dan latar belakang pemandu.
“Semua pihak yang terlibat tidak sepatutnya menutup sebelah mata terhadap kecuaian yang boleh mengorbankan nyawa,” titah Baginda lagi.
Sultan Sharafuddin turut berdoa agar kejadian seumpama ini tidak lagi berulang, terutamanya apabila melibatkan anggota keselamatan yang sedang menjalankan tanggungjawab demi negara.
Terdahulu, media melaporkan kemalangan pada jam 8.50 pagi Selasa lalu berlaku apabila sebuah lori membawa muatan pasir merempuh trak FRU yang dinaiki 18 anggota ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas bertugas sempena sambutan Chitrapournami di Hilir Perak.
Nahas itu mengorbankan sembilan anggota FRU, manakala sembilan yang lain cedera dan masih dirawat di hospital.