KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memanfaatkan ruang dan peluang mendapatkan penjelasan terus daripada Kerajaan Rusia berkait keputusan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berhubung insiden pesawat MH17 di hadapan Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam pertemuan dua hala di Kremlin hari ini.
Jelas Anwar dalam semangat keterbukaan dan saling menghormati, beliau membawa suara rakyat Malaysia berhubung tragedi MH17.
“Saya bangkitkan perkara ini secara terus kepada Presiden Putin.
“Malaysia kekal berpendirian bahawa kebenaran dan keadilan harus ditegakkan secara adil dan menyeluruh.
“Ini merupakan ruang penting untuk kita mendapatkan penjelasan terus daripada Kerajaan Rusia mengenai keputusan ICAO,” ujar Perdana Menteri dalam kenyataan media pada Khamis.
Anwar menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian bahawa kebenaran dan keadilan harus terus diperjuangkan dengan menuntut kerjasama semua pihak dalam memastikan siasatan serta proses yang bebas dan adil.
“Malaysia akan terus bersuara secara berprinsip dan tegas demi memastikan keadilan buat mangsa dan keluarga mereka yang terkesan dengan insiden pilu ini,” kata beliau lagi.
Kata Anwar pertemuan beliau dengan Putin di Kremlin semalam berlangsung dalam suasana yang cukup bermakna membabitkan dua negara yang terus mencari titik temu demi masa depan yang lebih aman dan makmur.
“Saya suarakan penghargaan atas layanan yang sangat baik sepanjang lawatan ini.
” Rusia bukan sekadar sebuah kuasa besar, tetapi sebuah peradaban yang kaya dengan sejarah perjuangan, budaya, sastera dan seni.
“Kekaguman saya terhadap Rusia lahir bukan hanya dari hubungan diplomatik, tetapi daripada pemahaman terhadap ketabahan rakyatnya.
“Kami berbincang secara menyeluruh mengenai kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pendidikan, tenaga, teknologi digital, pertahanan dan keselamatan siber. Malaysia menyambut baik usaha memperluas dagangan dua hala serta menarik pelaburan baharu dari Rusia, terutamanya dalam sektor bernilai tinggi seperti aeroangkasa, AI dan ekonomi digital.
“Saya turut mengangkat potensi besar hubungan antara rakyat termasuk pertukaran pelajar, biasiswa, pengembangan program pengajian Melayu, serta kerjasama TVET dan sains teknologi,” jelasnya lagi.
Anwar menambah sebagai usaha memperkukuh keterhubungan, Malaysia mahu syarikat penerbangan Rusia termasuk Aeroflot menyambung semula laluan terus ke Malaysia sesegera mungkin bagi merancakkan pelancongan dan pertukaran budaya.
“Saya turut nyatakan pendirian konsisten Malaysia dan ASEAN dalam mendepani isu geopolitik, yakni menolak tindakan unilateral dan berpegang pada kepusatan ASEAN.
“Prinsip kedaulatan, integriti wilayah dan penyelesaian secara aman adalah asas utama dalam dasar luar Malaysia dan negara serantau.
“Saya nyatakan bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan yang berprinsip dalam kerangka multilateralisme. ASEAN dan negara-negara Selatan Global perlu diberi ruang untuk menentukan hala tuju sendiri, tanpa dipaksa untuk memihak dalam persaingan kuasa besar.
“Saya turut rakamkan penghargaan kepada Presiden Putin atas sokongan terhadap hasrat Malaysia menyertai BRICS. Kami percaya BRICS mampu menjadi saluran baharu untuk kerjasama pembangunan yang lebih adil dan seimbang bagi negara-negara membangun.
“Di akhir pertemuan, saya menjemput Presiden Putin untuk berkunjung ke Malaysia sama ada dalam masa terdekat atau sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada Oktober ini. Kehadiran beliau akan menjadi pemangkin penting ke arah hubungan dua hala dan kerjasama serantau yang lebih utuh,” kata Anwar.