TAIPEI- 45 pesawat tentera China dikesan di sekitar Taiwan, seminggu sebelum Presiden baharu, Lai Ching-te, yang dianggap Beijing sebagai ‘pemisah berbahaya’, mengangkat sumpah.
China mendakwa Taiwan adalah sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan berikrar akan mempertahankantuntutannya.
China memberi amaran kepada Ching-te, yang akan mengangkat sumpah jawatan tertinggi Taiwan pada 20 Mei ini, bahawa beliau akan membawa ‘peperangan dan kemerosotan’ kepada negara itu.
Ketegangan Taiwan dengan China meningkat sejak Ching-te memenangi pemilihan pada Januari lalu.
“Sebanyak 26 daripada pesawat itu melintasi garisan median Selat Taiwan,” katanya dalam satu kenyataan, merujuk kepada garisan sepanjang 180 kilometer (km) yang memisahkan Taiwan dari China.
Kementerian itu menambah bahawa ia sudah ‘memantau keadaan dan bertindak balas dengan sewajarnya’.
Semalam, sebanyak 23 pesawat China – termasuk jet pejuang dan dron, dikesan di sekitar Taiwan dalam tempoh dua jam.
Beijing sejak beberapa tahun kebelakangan ini meningkatkan tekanan tentera ke atas Taiwan dengan mengekalkan kehadiran pesawat pejuang, dron dan kapal tentera laut di sekitar pulau itu, hampir setiap hari.
Jumlah terbesar pernah dilihat di sekitar Taiwan adalah September lalu, apabila Beijing menghantar 103 pesawat pejuang dan pesawat, yang mana 40 daripadanya melintasi garis tengah.
Selain mengerahkan pasukan tentera, China juga menghantar kapal pengawal pantai dan kapal perikanan rasmi lain di sekitar pulau terpencil Taiwan, Kinmen, sejak Februari lalu.
Kelibat terbaharu dilaporkan semalam, apabila lima kapal pengawal pantai China belayar melalui kawasan ‘perairan terhad’ Kinmen selama tiga jam.
“Kami menggesa pihak China untuk menahan diri dan segera menghentikan tingkah laku tidak rasional ini,” katanya.
Ching-te, seperti Presiden sebelumnya, Tsai Ing-wen, menolak tuntutan Beijing ke atas Taiwan.
China mengutuk beliau dan timbalannya, Hsiao Bi-khim, yang juga bekas wakil Taiwan ke Amerika Syarikat (AS) – AFP