KUALA LUMPUR – Parti Bersatu akui sukar menerima parti baru Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam Perikatan Nasional (PN).
Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu berpunca daripada pendirian Hamzah yang sebelum ini menjalinkan kerjasama dengan pihak lawan tanpa memaklumkan kepada kepimpinan parti.
“İni jelas menunjukkan beliau mempunyai agenda peribadi. Sukar bagi kami untuk menerima Hamzah kerana dia bertindak sendirian tanpa pengetahuan kepimpinan presiden kami.
“Tentunya parti komponen lain akan faham perasaan Bersatu dan saya yakin rakan-rakan dalam PN akan menghormati perasaan kami sebagai rakan gabungan mereka,” katanya menurut Utusan.
Menurut Peja, sebarang keputusan mengenai perkara itu perlu dirujuk kepada kepimpinan PN selaras dengan prinsip konsensus dalam parti.
“Semua permohonan mesti dirujuk dan sebaiknya kita amalkan konsensus dalam parti.
“Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi tetapi apa jua keputusan perlu dibuat secara konsensus,” katanya.
Mengulas peletakan jawatan Hamzah, Peja berkata, ia merupakan permulaan positif bagi kepimpinan baharu PN.
“Beliau telah dinasihati untuk meletakkan jawatan sejak dipecat oleh Lembaga Disiplin parti Bersatu dan akhirnya, beliau terpaksa menurut nasihat berkenaan. Ini adalah satu perkembangan yang amat baik bagi dirinya.
“Setahu saya, beliau pernah berbai’ah dan menandatangani satu akuan sumpah dengan parti Bersatu. Saya berpandangan, apabila kita pernah bersumpah dengan kalimah Allah, kita wajib berpegang kuat kepada sumpah yang pernah dilafazkan.
“Maka, sudah tiba masanya beliau melangsaikan setiap patah perkataan yang pernah beliau ungkapkan sendiri,” katanya.



