KUALA LUMPUR – Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berpendapat, apa yang berlaku di hadapan mata kita sekarang bukan kerana hasil tidak mencukupi, tetapi berpunca daripada mereka yang bebal, tidak amanah dan jahil terhadap agama.
Bahkan katanya, khianat terhadap harta negara dan berlaku zalim terhadap rakyat kerana tidak berlaku adil kepada semua kerana memberi secara terpilih mengikut penyokong, kroni dan pengampu sahaja.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, keadaan ini diburukkan lagi dengan ketidakcekapan, kekurangan ilmu serta sikap berlagak tahu segala-galanya.
“Terdapat negara yang hasilnya terlalu banyak sehingga harga bahan bakar lebih murah daripada air minuman, tetapi berfoya-foya dengan kekayaan, dilaburkan di negara kaya untuk menambah hasil haram seperti riba, perjudian dan hiburan yang tidak membantu negara miskin dan rakyat yang memerlukan.
“Selain itu, terdapat bantuan yang bocor sehingga tidak sampai kepada rakyat, dan ada pula yang bersikap zalim apabila tidak diberikan kepada yang berhak kerana dianggap musuh.
“Ada yang berperang kerana mempertahankan harta dan takhta, sehingga sanggup berwala’ kepada musuh Islam. Contohnya, apabila Selat Hormuz ditutup dan Laut Merah disekat kerana telah menceroboh sebuah negara yang berdaulat dan paling berhak, lalu menyalahkan orang lain bukannya diri sendiri atau menyokong negara yang menceroboh.
“Ada juga kalangan yang berebut jawatan dan meminta jawatan kerana pangkat dan harta, maka mereka itu tidak akan mendapat pertolongan Allah,” katanya dalam catatan Minda Presiden Pas pada Rabu.
Tambah Hadi, banyak negara yang mengambil teladan daripada pengurusan Nabi Yusuf AS, antaranya ialah Republik Islam Iran yang bersedia untuk kehidupan rakyat terlebih dahulu dengan hasil dan ilmunya termasuk dalam aspek keselamatan dan pertahanan negara, makanan rakyatnya cukup, kemudahan rakyat dijaga dan pertahanannya kuat.
“Negara Jepun juga memberi subsidi yang mencukupi kepada para petani dan menyediakan kemudahan rakyat daripada hasil sumber lain yang banyak.
“Ada negara yang boros perbelanjaannya untuk para pemimpin, tanpa keutamaan membantu rakyat khususnya yang miskin. Malah, ada yang bocor di tengah jalan tidak sampai kepada rakyat.
“Ada yang diambil daripada sumber haram bagi menambahkan harta, maka tidak ada keberkatan hasilnya.
“Tidak mengawal harga barangan yang lebih perlu kepada rakyat miskin seperti diesel yang banyak digunakan oleh petani, nelayan, para pekerja pembangunan dan sebagainya seperti barang makanan, pakaian, kediaman dan pengangkutan.
“Sebaliknya, hanya menjaga kepentingan mereka yang berada, mempunyai harta dan berpangkat. Sikap begini tidak mengikut perintah Allah dari segi keutamaan,” ujarnya.
Harta negara diambil dengan adil dan perlu dibahagikan dengan adil juga, mewajibkan para pemerintah yang berakhlak dan berilmu, bukan pemimpin yang bebal atau bangang, tegas Hadi.
Ujar pemipin tertinggi Pas itu lagi, al-Quran kitab suci umat Islam ialah petunjuk Allah yang berkekalan sepanjang perjalanan kehidupan manusia.
“Termasuk cerita-cerita yang disebut daripadanya, sama ada cerita para anbiya’ dan orang-orang yang soleh atau cerita orang derhaka dan zalim, juga berkenaan kejadian alam dan hukum hakamnya dalam urusan pentadbiran negara. Semuanya mukjizat ilmu yang berkekalan sepanjang zaman.
“Antaranya, cerita Nabi Yusuf AS yang mentadbir hasil negara dalam aspek ekonomi, yang berjaya ketika menghadapi masalah ekonomi yang membebankan rakyat.
“Walaupun para rasul dan anbiya’ tidak boleh dibandingkan dengan manusia lain kerana para anbiya’ bersifat maksum iaitu dipelihara dan dikawal oleh Allah dengan wahyu dan hikmah yang luar biasa.
“Namun, mereka dijadikan teladan kepada seluruh manusia biasa yang terjerumus ke dalam dosa, apabila nafsunya tidak boleh dikawal oleh akal yang sihat sekalipun mereka berilmu. Maka, tidak harus membandingkan diri manusia biasa yang dianggap tokoh dengan para anbiya’.
“Allah menceritakan kisah Nabi Yusuf AS dalam surah yang dinamakan sempena nama Baginda kerana kisahnya menjadi pengajaran dan teladan yang sangat penting. Khususnya, dalam peristiwa krisis ekonomi yang menimpa negeri Mesir akibat kemarau panjang yang dahsyat.
“Nabi Yusuf AS dijadikan orang penting oleh Raja Mesir pada zamannya yang diberikan amaran oleh Allah akan berlaku suatu kemarau yang dahsyat. Perkara itu ditadbirkan oleh Nabi Yusuf melalui mimpi Raja Mesir.
“Nabi Yusuf AS yang dikurniakan kenabian dan dijadikan teladan dapat mengawal nafsunya dengan pertolongan Allah, apabila Baginda digoda oleh wanita yang rupawan dan bangsawan,” katanya.



