“Letak jawatan PM secara terhormat tanpa bantahan, Abdullah beri contoh terbaik” – Tun M

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad memuji contoh teladan terbaik yang dipraktikkan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila memilih untuk berundur secara terhormat.

“Beginilah cara kita di Malaysia. Bila kita bersara, kita undur secara terhormat dan menyerahkan tanggungjawab kepada pengganti kita.

“Jika tradisi ini diteruskan, Insya-Allah Malaysia akan terus menjadi negara yang diberkati.

“Allahyarham Abdullah memberikan contoh terbaik kepada kita semua,” katanya selepas memberi penghormatan terakhir kepada Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara, pada Selasa.

Dr Mahathir tiba di Masjid Negara kira-kira jam 11 pagi, ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali serta anak mereka, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau meluangkan masa kira-kira 10 minit di masjid berkenaan.

Sementara itu, Dr Mahathir turut mengenang kembali hubungan lamanya dengan Allahyarham yang mesra disapa sebagai Pak Lah.

“Saya kenal beliau sejak sebelum saya menjadi Perdana Menteri. Kali pertama saya bertemu Allahyarham adalah di sebuah pasar raya pada 1968. Kami sudah lama saling mengenali.

“Ketika saya memilih untuk bersara, beliau adalah timbalan saya, maka beliaulah yang menggantikan saya. Memang benar, apabila saya melepaskan jawatan, Abdullah mengambil alih sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Bukan cuma itu, Dr Mahathir turut memuji kepimpinan Allahyarham Abdullah, terutama kejayaan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU-11) pada 2004.

“Di bawah kepimpinan beliau, gabungan pemerintah mencapai kemenangan paling besar dalam sejarah negara, memenangi 90 peratus kerusi. Ia pencapaian luar biasa,” lapor BH.

Bagaimanapun, Dr Mahathir turut mengakui cabaran dihadapi Allahyarham Abdullah selepas itu, termasuk tekanan politik susulan keputusan PRU 2008.

“PRU 2008 tidak begitu berjaya. Dengan tekanan yang semakin meningkat supaya beliau meletakkan jawatan, beliau berundur tanpa sebarang bantahan dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga dan saya percaya mereka bersabar kerana ini naluri manusia, akhirnya kita akan meninggal dunia,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat