Seni, Simbolisme dan Suara Baharu Seorang Bintang Muda
Nama Dinda Dania mungkin dikenali ramai sebagai juara Ceria Popstar Xtra 2022, namun single terbarunya, Katana, membuktikan bahawa dia bukan lagi hanya seorang penyanyi remaja – tetapi kini seorang artis muda dengan arah seni yang semakin matang dan berani.
Melangkah keluar dari imej pop konvensional, Dinda menghidangkan sebuah karya yang sarat dengan elemen sinematik, nuansa simbolik dan naratif penuh emosi. Diinspirasikan daripada pedang ikonik Jepun, Katana bukan sekadar lagu bertenaga – ia adalah refleksi kepada evolusi seorang penyanyi yang sedang menemui identitinya dalam dunia muzik.
“Saya anggap Katana sebagai cerminan fasa baharu dalam kerjaya saya. Ia bukan sekadar tentang kisah dikhianati, tetapi lebih kepada bagaimana kita bangkit semula – dengan lebih elegan dan tajam,” ujar Dinda dalam satu temu bual eksklusif.
Dicipta oleh gandingan kreatif Iqie Hugh, Omar K dan Shazriq Azeman, Katana menyulam elemen muzik moden dengan alunan dramatik – seiring dengan kekuatan vokal Dinda yang kini lebih tersusun, matang dan ekspresif. Lagu ini tidak hanya menunjukkan sisi emosional seorang wanita, tetapi juga mengangkat elemen budaya Timur yang sering kali dikaitkan dengan disiplin, maruah dan keanggunan.
Apa yang menarik, kolaborasi Dinda bersama trio penerbit hebat ini bukanlah yang pertama. Namun, menurutnya, Katana membawa pengalaman kerja yang jauh lebih mendalam kerana dia kini lebih terbuka berkongsi idea dan memahami selok-belok proses produksi.
“Saya sangat selesa bekerja dengan mereka. Mereka mendengar, memberi ruang untuk saya mengekspresikan diri, dan menjadikan studio satu tempat yang sangat positif. Walaupun ketika rakaman saya kurang sihat, semangat mereka membantu saya terus fokus,” katanya.
Simbolisme Katana juga dilihat sebagai satu bentuk penghormatan kepada nilai kekuatan dalaman dan pengawalan diri – dua unsur yang jarang diketengahkan dalam lagu-lagu pop tempatan. Dengan lirik yang padat dan susunan muzik yang berlapis, lagu ini menawarkan pengalaman mendengar yang lebih sinematik dan menyentuh.
Biarpun masih hijau dalam industri, keberanian Dinda mempersembahkan sesuatu yang berbeza jelas membuktikan keseriusannya sebagai seorang artis yang ingin membina legasi, bukan sekadar populariti sementara.
Kini boleh distrim di semua platform digital utama, Katana bukan sahaja memperlihatkan keberanian dalam bunyi – tetapi juga dalam mesej, imej, dan hala tuju muzik Dinda Dania yang semakin jelas.