KUALA LUMPUR – Ramadan sentiasa hadir membawa suasana yang berbeza. Di sebalik kesibukan kota dan rutin harian yang tidak pernah berhenti, bulan yang mulia ini seakan memperlahankan langkah manusia untuk kembali mengingati makna berkongsi, menghargai nikmat dan merapatkan hubungan sesama insan.
Dalam semangat itulah LM Tree Corporate Sdn Bhd menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Nur Hati, sekali gus mencipta satu ruang kebersamaan yang dipenuhi kehangatan, senyuman dan rasa syukur.
Seramai 56 anak yatim diraikan dalam program tersebut. Walaupun jumlah asal dijangka sedikit berbeza, beberapa anak tidak dapat hadir kerana mengikuti pengajian di pusat tahfiz. Namun kehadiran mereka yang hadir sudah cukup memeriahkan suasana, menjadikan majlis iftar itu lebih daripada sekadar acara berbuka puasa.

Eksekutif Pengarah syarikat berkenaan, Muhammad Sufian Aziz, berkata program itu merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan syarikat sebagai usaha mendekatkan sektor korporat dengan komuniti.
“Alhamdulillah, program hari ini adalah salah satu usaha CSR kami. Selain berbuka puasa bersama, kita mahu mewujudkan suasana kekeluargaan supaya anak-anak ini merasai kehangatan Ramadan bersama masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, di sebalik hidangan berbuka dan suasana santai yang terjalin, objektif utama program itu adalah untuk menyantuni anak-anak yatim serta memberi mereka peluang merasai kemeriahan Ramadan seperti kanak-kanak lain.
“Kadang-kadang apa yang mereka perlukan bukan sekadar bantuan material, tetapi perhatian dan rasa dihargai. Dengan program seperti ini, kita harap mereka dapat merasai bahawa ramai yang mengambil berat tentang mereka,” tambahnya.
Majlis tersebut merupakan program CSR kedua anjuran syarikat pada tahun ini selepas sebelum ini bekerjasama dengan Universiti Teknologi MARA dalam satu program kolaborasi melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi.
Bagi program kali ini, LM Tree Corporate turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak termasuk Jakel dan Giant, selain sokongan daripada peniaga kecil dan sederhana (PKS) serta individu yang tampil menyumbang.
Kerjasama tersebut memberi makna yang besar kepada anak-anak yatim yang diraikan. Menjelang Hari Raya Aidilfitri, antara perkara yang sering menjadi perhatian ialah pakaian baharu dan keperluan dapur untuk persiapan menyambut perayaan.

“Alhamdulillah, pihak Jakel memberikan kerjasama dalam menyediakan pilihan pakaian raya untuk anak-anak yatim, manakala Giant dan beberapa penyumbang lain turut menyumbangkan barangan dapur serta keperluan harian,” katanya.
Bagi anak-anak ini, mungkin sehelai baju raya atau sekotak barangan dapur bukan sekadar sumbangan biasa. Ia adalah simbol kasih sayang masyarakat yang tidak pernah melupakan mereka, terutama menjelang hari yang penuh kegembiraan seperti Aidilfitri.
Walaupun LM Tree Corporate bukan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sufian menegaskan bahawa syarikat tersebut tetap komited melaksanakan program CSR setiap tahun sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2016, syarikat tersebut berperanan sebagai perunding kewangan yang membantu pelanggan menyusun semula kedudukan kewangan mereka agar lebih stabil dan terancang.
“Kami membantu pelanggan dari segi penyusunan semula kewangan dan penggabungan hutang supaya kedudukan kewangan mereka lebih teratur dan masa depan kewangan mereka lebih cerah,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut mengambil kesempatan mengingatkan orang ramai agar berbelanja secara berhemah menjelang musim perayaan.

Menurutnya, tidak salah untuk menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan, namun perbelanjaan yang berlebihan boleh memberi tekanan kepada kewangan selepas musim perayaan berakhir.
“Kita semua mahu menyambut raya dengan meriah, tetapi biarlah berpada-pada. Jangan sampai selepas raya kita terpaksa menanggung beban kewangan yang akhirnya menyusahkan diri sendiri,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa program CSR syarikat tidak hanya tertumpu pada bulan Ramadan sahaja. Selepas ini, LM Tree Corporate merancang untuk melaksanakan pelbagai lagi program kebajikan termasuk kerjasama bersama sekolah dan kelab sukan sebagai usaha berterusan menyumbang kepada komuniti.
Bagi Sufian, setiap program seperti ini mungkin kelihatan kecil, namun impaknya boleh menjadi besar apabila lebih ramai pihak tampil berganding bahu.
“Harapan kami ialah supaya program seperti ini dapat membuka ruang kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan, termasuk dengan syarikat korporat lain. Apabila lebih ramai bersama, lebih banyak pihak yang dapat kita bantu,” katanya.
Di penghujung majlis, senyuman anak-anak yang diraikan menjadi gambaran paling jelas tentang makna sebenar Ramadan. Kerana pada akhirnya, kebahagiaan bukan hanya terletak pada apa yang dimiliki, tetapi pada apa yang sanggup dikongsi bersama orang lain.



