SHAH ALAM, 14 Mac – Menjelang pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang akan berlangsung esok, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, menolak dakwaan bahawa beliau akan menarik diri daripada bertanding.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, Lim menegaskan bahawa spekulasi mengenai pengundurannya hanyalah laporan media tidak berasas serta maklumat palsu.“Biar saya jelaskan – Guan Eng tidak akan sekali-kali menarik diri daripada pemilihan.
“Masa depan saya akan ditentukan sendiri oleh ahli DAP. “Terima kasih kepada ahli parti atas keprihatinan anda. Jumpa anda semua di kongres (esok),” katanya.
Pemilihan CEC DAP Dicemari Spekulasi & Kempen Dalaman
Pemilihan kali ini berlangsung dalam suasana penuh spekulasi, terutamanya berkaitan usaha untuk menyingkirkan Lim daripada kepimpinan parti.
Sebagai bekas Setiausaha Agung DAP selama hampir 18 tahun, Lim mempunyai pengaruh besar dalam parti dan dalam sesetengah keadaan, beliau dijuluki sebagai “tokong” oleh penyokong serta pengkritik.
Selain itu, kempen dalaman yang dikenali sebagai “Hantar Dewa Pulang” dikatakan giat dijalankan bagi menyingkirkan beliau daripada CEC.
Lebih 4,000 Perwakilan Bakal Pilih 31 Ahli CEC Baharu
Pemilihan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam ini menyaksikan seramai 4,203 perwakilan dari 1,650 cawangan layak mengundi.
Sebanyak 70 calon akan bertanding untuk mengisi 31 kerusi dalam CEC bagi penggal 2025 – 2028. Setelah keputusan diumumkan, 30 ahli CEC yang terpilih akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan kepimpinan tertinggi parti, termasuk jawatan Setiausaha Agung DAP.
Sebelum sesi pengundian, Lim Guan Eng dijadual menyampaikan ucapan perasmian selaku Pengerusi Kebangsaan, diikuti ucapan dasar oleh Setiausaha Agung, Anthony Loke.
Dengan pelbagai spekulasi dan kempen dalaman yang menyelubungi pemilihan kali ini, keputusan yang bakal diumumkan esok dijangka akan mempengaruhi hala tuju kepimpinan DAP dalam tempoh tiga tahun akan datang.