KUALA LUMPUR – Tidak berkecil hati apabila namanya tidak tersenarai dalam ‘cai’ (papan) pilihan calon ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang diedarkan pihak tertentu kepada perwakilan di akar umbi.
Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil sebaliknya, menyatakan beliau tidak boleh memaksa sesiapa untuk masukkan namanya dalam ‘cai’ mereka.
Isham juga berkata, beliau hanya mempertaruhkan komitmen yang telah dilakukannya sejak kekalahan teruk Umno pasca PRU14 untuk memastikan Umno diterima semula oleh rakyat.
“Hari ini (semalam) tular satu ‘cai’ pilihan calon ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi pemilihan kali ini oleh pihak tertentu kepada perwakilan di akar umbi. Nama saya tidak ada dalam cai tersebut.
“Tidak mengapa, saya tidak boleh paksa sesiapa untuk masukkan nama saya dalam cai atau papan mereka. Namun kepada akar umbi Umno yang masih ingin mengundi saya, mohon ingat nombor calon saya iaitu nombor 36 semasa di peti undi nanti, sebab nombor ini mungkin tidak ada dalam senarai cai yang disebarkan kepada anda.
“Saya tidak mampu tawar wang ringgit atau berjanji jawatan apa-apa kepada tuan-tuan dan puan-puan. Apa yang saya mampu tawarkan ialah komitmen saya terhadap perjuangan kita selama ini seperti yang telah saya lakukan selama beberapa tahun sejak kita kalah pilihan raya dan hilang kuasa pada tahun 2018 dengan ikhtiar dan sumber saya sendiri walaupun tanpa apa-apa balasan, peruntukan atau gaji. Pengorbanan ini saya lakukan sebab saya yakin perjuangan kita ini masih jauh dan banyak perubahan yang perlu kita buat supaya parti kita diterima semula oleh rakyat,” jelas Isham dalam satu hantaran di Facebooknya, semalam.
Pun begitu, beliau menyerahkan kepada proses demokrasi yang akan berlangsung pada Sabtu ini.
“Kalah atau menang saya serah kepada tuan-tuan dan puan-puan dan kepada ketentuan Allah SWT. Jika saya berjaya, saya akan teruskan perjuangan bersama tuan-tuan dan puan-puan dalam kepimpinan parti.
“Namun jika saya tidak berjaya, saya pohon supaya tuan-tuan dan puan-puan agar tetap teruskan perjuangan bersama kepimpinan parti dan majlis tertinggi, saya akan bantu dan sokong walaupun tidak berada dalam kepimpinan parti. Jangan patah semangat dan terus istiqamah dalam perjuangan,” ucap Isham lagi.