Usul tambahan PAU 2022, Ros akan panggil ahli MKT pula

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan memanggil ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bagi mendapatkan pandangan mereka tentang usul tambahan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 dan cara usul itu dibawa.

Ahli Umno Kuala Nerus, Aizat Fikri Nasir Fikri memaklumkan beliau telah dipanggil pihak RoS untuk memberi keterangan lanjut berkenaan laporannya terhadap Pelanggaran Perlembagaan Umno semasa PAU2022, bermula jam 11.15 pagi sehingga 1.30 ptg semalam.

“Pihak RoS telah meminta saya menjelaskan secara terperinci berkenaan laporan tempoh hari. Pihak RoS mengambil maklum dan sedang mengkaji Fasal 8.1 Perlembagaan Umno: Perhimpunan Agung adalah kuasa tertinggi parti dan perjalanan parti adalah berasaskan kepada kuasa dan perintahnya tertakluk kepada perlembagaan dan juga peraturan Umno.

“Perlembagaan juga di bawah Fasal 9.3 telah menyatakan: Pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan dua puluh lima orang ahli MKT hendaklah dipilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian tiap-tiap tiga tahun sekali,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pun begitu menurut Aizat Fikri lagi, isunya, walaupun PAU mempunyai kuasa tertinggi namun ia tidak boleh meluluskan sesuatu yang bercanggah atau tiada dalam Perlembagaan.

“Sebagai contoh, jika ada usul dibawa dalam PAU untuk Umno mewujudkan dua jawatan presiden, ia tidak boleh diambil kira kerana Perlembagaan Umno menyatakan hanya satu jawatan Presiden. Bahkan dalam urusan kerajaan, Dewan Rakyat juga tidak boleh membuat ketetapan yang bercanggah dengan perlembagaan negara (ultra vires), jika ia berlaku ketetapan itu terbatal secara automatik.

“Ketetapan ini juga tidak dibuat mengikut peraturan persidangan perhimpunan agung apabila gagal memberi notis selama 14 atau 7 hari seperti yang dinyatakan dalam peraturan 10.1 pemberitahuan usul,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, mengikut peraturan 20.1 Pindaan Usul, pada masa sesuatu usul itu dalam pertimbangan persidangan atau jawatankuasa bolehlah dicadangkan pindaan-pindaan jika ia berkaitan dengan usul itu.

“Saya telah menjelaskan kepada RoS bahawa usul ucapan dasar presiden dan usul tambahan itu adalah dua perkara berbeza dan tidak berkaitan.

“Pihak RoS juga menjelaskan kepada saya, tempoh masa 60 hari yang diberikan kepada Umno itu bukanlah tempoh siasatan ini tetapi ianya bagi Umno menghantar laporan penuh persidangan baru-baru ini. Siasatan bagi laporan ini akan tetap diteruskan sekaligus menafikan kenyataan Setiausaha Agung Umno bahawa isu ini selesai.

“Saya juga dimaklumkan ada Ahli-Ahli MKT yang akan dipanggil bagi mendapatkan pandangan mereka tentang usul tersebut dan cara usul itu dibawa,” ujar Aizat Fikri.

Dalam pada itu kata beliau, pihak RoS berpuas hati dan memberi jaminan akan menjalankan siasatan dengan adil dan secepat mungkin menyedari Umno kini dalam tempoh persidangan, dan mengambil maklum bahwa sebarang keputusan daripada RoS boleh memberi kesan terhadap pemilihan kali ini.

“Saya harap Presiden dan Timbalan Presiden dapat bersabar dan tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan. Biarlah RoS menjalankan siasatan dengan adil dan bebas.

“Terima kasih kepada RoS kerana bersikap tegas. Rakyat di luar bijak menilai, biarlah masa yang menentukan segalanya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat