Sumbangan RM300 Juta Daripada Kontraktor, Muhyiddin Disiasat SPRM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka memanggil Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung siasatan ke atas kewangan parti itu.

Lapor New Straits Times, SPRM memaklumkan, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan bekas Perdana Menteri akan dipanggil dalam tempoh terdekat.

“Muhyiddin akan dipanggil bagi dirakam kenyataan mengenai dakwaan RM300 juta diterima parti itu sebagai dana politik daripada kontraktor yang dianugerahkan projek ketika pentadbirannya,” katanya.

Sumber terbabit turut mengesahkan dua akaun bank milik Bersatu dengan jumlah baki RM40 juta sudah dibekukan suruhanjaya berkenaan.

Beberapa pemimpin Bersatu juga sudah dipanggil untuk direkod kenyataan, termasuk bendahari parti terbabit.

“Hasil pemeriksaan menunjukkan semua penyumbang kepada parti terbabit adalah kontraktor yang menerima kontrak kerajaan ketika pentadbiran Muhyiddin,” katanya.

Dilaporkan kontraktor terbabit dikenal pasti selepas SPRM menyiasat beberapa akaun milik Bersatu yang dibekukan hujung bulan lalu.

Bersatu sebelum ini dilaporkan menerima hingga RM300 juta daripada kontraktor berkenaan sebagai dana politik susulan persetujuan dibuat dengan beberapa pemimpin parti, termasuk mereka yang berkhidmat di bawah pentadbiran Muhyiddin ketika itu.

Difahamkan lebih 15 individu termasuk pemimpin Bersatu dan pihak kontraktor sudah dipanggil SPRM untuk dirakamkan kenyataan.

Sebelum itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, berkata SPRM sudah membekukan beberapa akaun milik parti itu, baru-baru ini.

Beliau mendakwa pembekuan akaun itu ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.

Pada 1 Februari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan SPRM sudah membekukan akaun Bersatu sebagai membantu siasatan ke atas wang disyaki hasil haram.

Azam berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Disember lalu, media melaporkan SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan Covid-19 daripada Kementerian Kewangan.

SPRM dalam kenyataan sebelum ini berkata, fokus siasatan terarah RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion.

Terdahulu di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan akan ada pemimpin semasa pentadbiran PN yang akan disiasat SPRM.

Menurutnya, ada banyak kerosakan yang dilakukan sewaktu pemerintahan terdahulu.

“Memang ada kebenaran semasa kerajaan Barisan Nasional, ada ketirisan dan kes terbabit seperti 1MDB. Tetapi masa pentadbiran PN, ada banyak kerosakan juga,” katanya menjawab soalan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) isu ketirisan dalam kerajaan sebelum ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat