Jalaluddin Harap ECRL Jajaran Jelebu Dikembalikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias konsisten memperjuangkan agar jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melalui Jelebu.

Dalam perbahasan menyokong Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, Jalaluddin membangkitkan persoalan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sama ada jajaran ECRL ini sudah 100 peratus sudah dimuktamadkan ataupun akan berlaku sebarang perubahan dari segi laluan dan stesen yang bakal dibina?

“Projek ECRL adalah salah satu projek yang terkesan akibat ketidakstabilan politik dan pertukaran kerajaan dalam penggal sebelum ini. Dalam titah Yang di-Pertuan Agong pada Isnin lalu juga ada menyebut bahawa baginda berharap agar kerajaan hendaklah meneruskan projek-projek infrastruktur pengangkutan awam berimpak tinggi bagi meningkatkan ketersambungan dan kemudahsampaian di samping menjana kesan pengganda yang positif terhadap pertumbuhan ekonomi.

“Saya ingin bertanya kepada kerajaan khususnya kepada Menteri Pengangkutan, adakah jajaran ECRL ini sudah 100 peratus dimuktamadkan ataupun akan berlaku sebarang perubahan dari segi laluan dan stesen yang bakal dibina?

“Sewaktu Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban menjadi Menteri Pengangkutan zaman Pakatan Harapan (PH), beliau orang yang bertanggungjawab menukar jajaran ini, dan saya menyokong cadangan tersebut kerana ia bakal memberi impak yang positif kepada sosio ekonomi penduduk di kawasan Parlimen saya (Jelebu),” katanya.

Menurut Jalaluddin, sewaktu Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong menjadi Menteri Pengangkutan, beliau mengembalikan semula kepada jajaran asal.

“Walaupun saya dan Ahli Parlimen Ayer Hitam datang dari satu parti, saya tetap zahirkan pandangan saya agar Jajaran Selatan itu perlu juga diteruskan. Boleh tengok semula hansard Parlimen pada 21 Julai 2020, saya ada bangkitkan berkenaan hal ini.

“Kini Ahli Parlimen Seremban kembali menjadi Menteri Pengangkutan, adakah perjuangan untuk membawa ECRL ini melalui Jelebu masih diteruskan ataupun tidak?

“Saya konsisten untuk memperjuangkan berkenaan ECRL ini kerana saya sedar projek ini adalah sangat baik bagi membantu melonjakkan ekonomi masyarakat setempat.

“Jika jajaran ECRL ini melalui Jelebu, sudah pasti ia akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, peniaga mempunyai prospek pembeli yang lebih tinggi, aliran tunai di Jelebu juga akan meningkat naik, dan pastinya akan membantu serba sedikit untuk mengenalkan kecantikan Jelebu ini di mata pelancong. Pelancong akan ada pilihan untuk datang ke Jelebu dengan menaiki ECRL ini,” jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, beliau turut membangkitkan berkenaan isu kekurangan guru-guru di beberapa sekolah.

“Hasil pemerhatian saya, isu pokok mengapa masalah kekurangan guru ini berlaku adalah kerana warran lantikan guru yang tidak dipenuhi. Masalah yang berlaku ialah bukan kerana anak-anak muda kita tidak mahu menjadi guru, permohonan memang tinggi, lepasan universiti yang layak juga dikatakan ramai, tapi tapisan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) mengakibatkan tidak ramai dari pemohon ini yang dilantik menjadi guru.

“Saya ingin bertanya kepada pihak kementerian, mengapakah SPP tidak membuat lantikan semaksima mungkin bagi mengisi kekosongan ini? Apa puncanya? Adakah standard ataupun kriteria yang ditetapkan oleh pihak SPP ini terlalu tinggi?

“Saya tidak melihat soal peruntukan sebagai satu masalah, kerana warran telah dikeluarkan, itu maknanya ada peruntukan bagi melantik guru-guru baharu ini, tapi tidak dilantik. Mohon Menteri Pendidikan beri penjelasan,” tegasnya.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, pembentukan kerajaan hari ini satu gandingan yang tidak pernah terjangka dan satu kolaborasi yang mungkin boleh melakukan satu pembaharuan kepada negara.

“Diharapkan agar gandingan dan kolaborasi di antara kedua-dua parti gabungan ini akan menjadikan kerajaan yang ada pada hari ini adalah satu kerajaan yang berpengalaman, dan mampu melakukan transformasi kepada urus tadbir negara,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat