Rundingan Muktamadkan Projek Lebuhraya Trans Borneo Malaysia-Brunei Diteruskan – PM

- Advertisement -

BANDAR SERI BEGAWAN – Malaysia dan Brunei bersetuju meneruskan rundingan dan konsultasi untuk meneliti dan memuktamadkan cadangan projek Lebuhraya Trans Borneo yang menghubungkan kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata cadangan projek itu meliputi dua fasa iaitu bagi fasa satu pembinaan kini pada tahap 77 peratus, manakala fasa dua akan melibatkan Brunei dalam dua segmen.

Lebuhraya Trans Borneo merupakan sistem rangkaian jalan raya utama yang menghubungkan Kalimantan (Indonesia), Sarawak dan Sabah (Malaysia) dan Brunei Darussalam.

Ismail Sabri berkata segmen satu adalah menaik taraf dan membina semula laluan jajaran dari persimpangan Kuala Baram di Miri ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujoh di Kuala Belit, Brunei sepanjang lima kilometer, dijangka bermula pada tahun 2023.

“Segmen dua pula adalah pembinaan jalan baharu dan naik taraf jalan sedia ada sepanjang 74 kilometer melalui Limbang dan Lawas,” katanya pada sidang media pada akhir lawatan rasminya ke Brunei.

Perdana Menteri berkata segmen dua kini dalam proses mereka bentuk serta mengambil balik tanah, yang dijangka siap dalam masa 48 bulan.

“Pelaksanaan kedua-dua projek ini akan memperkemaskan kesalinghubungan antara Malaysia dan Brunei. Tuanku Baginda Seri Sultan dan saya, bersetuju kedua-dua negara meneruskan rundingan dan konsultasi untuk meneliti dan memuktamadkan cadangan projek-projek ini,” katanya yang sebelum itu mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Ismail Sabri berkata perbincangan dengan Sultan Brunei turut sepakat, supaya Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Persempadanan Darat yang dipersetujui pada 2011 di peringkat pegawai kanan, diadakan pada kadar segera.

Beliau berkata dalam tempoh 11 tahun, hanya 87.27 kilometer daripada 528.45 kilometer sempadan darat atau 17 peratus yang telah disusun dan ditanda, dan daripada jumlah itu hanya 34.15 kilometer yang telah dimuktamadkan.

“Kedua-dua negara bersetuju untuk menandatangani MoU bagi kawasan itu yang telah dimuktamadkan. Seterusnya, Jawatankuasa Persempadanan Darat akan bermesyuarat untuk memuktamadkan kawasan yang selebihnya dengan segera,” katanya. – Bernama

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat