KUALA LUMPUR – Sebanyak 75 akaun syarikat bernilai RM32.5 juta dibekukan dalam Op Parasit berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa yang disyaki membabitkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD).
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan sejak 23 Disember lalu.
Menurutnya, susulan siasatan itu, secara keseluruhannya pihaknya menyita barangan bernilai RM 11.4 juta.
“Sitaan itu membabitkan wang tunai berjumlah RM4.4 juta, mata wang asing bernilai RM1.4 juta, sebuah unit kereta Range Rover SVR bernilai RM360,000, 26 unit jam berjenama bernilai RM2.3 juta dan barang kemas bernilai RM294,039.90.
“Selain itu, dua cincin berlian bernilai RM20,000, kepingan emas 3.7 kilogram dianggarkan bernilai RM2.5 juta, medalion emas 150 gram dianggarkan bernilai RM102,000 dan dua dinar emas (8.5g) dinggarkan bernilai RM5,780,” katanya pada sidang media lapor Harian Metro pada Khamis.
Azam berkata, semua penyitaan wang dan aset itu dibuat di dua lokasi di Kuala Lumpur dan Besut, Terengganu.
“Satu lokasi di sebuah residensi di Kuala Lumpur sebuah rumah dikatakan rahsia, manakala sebuah lagi adalah di Besut.
“Pegawai saya bergegas ke Terengganu dua kali ke sana bagi mendapatkan barang-barang kes ini hasil daripada maklumat yang diterima,” katanya di Putrajaya.
Semalam media melaporkan, bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dilepaskan daripada reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), susulan penahanan bagi membantu siasatan kes tender perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), berakhir semalam.
Difahamkan, proses mendapatkan keterangan pegawai tinggi berusia 58 tahun itu sudah dilengkapkan oleh pegawai penyiasat SPRM.
Azam mengesahkan perkara itu dan berkata pihaknya sudah membebaskan PTD daripada tahanan reman pada jam 6.30 petang, Isnin lalu.
Pada 7 Januari lalu, bekas PTD bersama dua isterinya ditahan SPRM berkait projek perolehan tender Tentera Darat dan keesokannya, pegawai itu direman selama tujuh hari, manakala dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan TDM.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan, bekas PTD itu dikehendaki memberi keterangan pada 28 Disember tahun lalu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.
SPRM juga hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember lalu, bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan Tentera Darat sejak 2023.



