KUALA LUMPUR, – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menegaskan komitmen untuk terus berperanan sebagai sayap parti yang menyumbang secara konstruktif kepada kebangkitan UMNO dengan pendekatan berwibawa, berprinsip dan berpaksikan realiti politik semasa.
Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Siti Nor Hasyyati Abd Rahman berkata, kebangkitan parti tidak boleh digerakkan melalui nostalgia atau sentimen semata-mata, sebaliknya memerlukan keberanian untuk bercakap benar serta kebijaksanaan dalam merangka solusi yang mampu menjawab keperluan rakyat dan negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Menurut beliau, landskap politik negara hari ini tidak lagi sesuai dengan dominasi satu parti, namun Malaysia masih memerlukan sebuah parti yang mampu menjadi paksi kestabilan, memahami struktur kerajaan, mengetahui had kuasa dan sanggup memikul tanggungjawab pentadbiran secara berhemah.
“UMNO telah membayar harga yang mahal untuk belajar daripada pengalaman lalu. Jika rakyat, khususnya orang Melayu, benar-benar mahukan kestabilan, keupayaan dan masa depan yang terurus, UMNO wajar diberi peluang kembali sebagai tonggak bukan untuk berkuasa secara bersendirian, tetapi untuk menstabilkan dan memimpin dengan pengalaman,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO Malaysia 2025, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa Puteri UMNO akan terus diperkasa sebagai pemangkin perubahan yang membawa suara generasi baharu, dengan penekanan kepada politik matang, berasaskan penyelesaian serta keupayaan mentadbir, bukannya retorik atau polemik berpanjangan.
Dalam ucapannya, Siti Nor Hasyyati turut memaklumkan terdapat beberapa input penting daripada ucapan Timbalan Presiden UMNO yang memerlukan penjelasan lanjut agar perwakilan dan ahli parti dapat memahami dengan lebih jelas hala tuju strategik parti ke hadapan.
Ucapan tersebut diakhiri dengan seruan agar Puteri UMNO terus kekal sebagai sayap parti yang berani, berprinsip dan relevan dalam mendepani cabaran politik masa kini.
“Puteri UMNO akan terus menyumbang kepada kebangkitan parti secara berwibawa dan berprinsip,” katanya.



