WASHINGTON. – Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menangguhkan pemprosesan visa imigresen daripada 75 negara, langkah terbaharu Presiden, Donald Trump terhadap warga asing yang ingin datang ke AS.
AFP melaporkan, langkah itu menggunakan kuasa Jabatan Negara untuk menangguhkan visa imigresen secara menyeluruh berdasarkan kewarganegaraan.
Jurucakap Jabatan Negara, Tommy Pigott berkata, pentadbiran Trump menamatkan penyalahgunaan sistem imigresen AS oleh mereka yang ingin mengambil kekayaan daripada rakyat AS.
“Pemprosesan visa imigresen daripada 75 negara ini akan ditangguhkan sementara Jabatan Negara menilai semula prosedur pemprosesan imigresen untuk menghalang kemasukan warga asing yang akan mengambil bantuan kebajikan dan faedah awam,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, negara terjejas termasuk Somalia, Rusia dan Iran.
Menurut seorang pegawai AS pula, negara lain yang terjejas termasuk Brazil, Mesir, Thailand, Nigeria, Iraq dan Yaman.
Bagaimanapun, Jabatan Negara belum mengeluarkan senarai penuh negara yang terbabit.
Difahamkan, penangguhan akan bermula pada 21 Januari tanpa tarikh berakhir yang ditetapkan.
Trump berulang kali menyatakan keinginannya untuk mengurangkan imigresen bukan keturunan Eropah.
Beliau secara terbuka menggambarkan rakyat Somalia sebagai “sampah”, tetapi “membuka pintu” kepada warga Scandinavia yang ingin berpindah ke AS.
Menurut Jabatan Negara, sejak kepulangan Trump, lebih 100,000 visa sudah dibatalkan.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri bulan lalu pula mengesahkan, pentadbiran Trump sudah menghantar pulang lebih 605,000 orang, dan 2.5 juta yang lain meninggalkan negara itu secara sukarela.
Langkah terbaharu itu tidak menjejaskan visa pelancong, perniagaan atau lain-lain, termasuk peminat bola sepak yang ingin hadir Piala Dunia, walaupun semua pemohon akan dinilai sejarah media sosial mereka.



