KUALA LUMPUR, – Penyertaan minimum 30 peratus wanita dalam kepimpinan parti bukan bersifat rayuan emosi atau retorik persidangan, sebaliknya merupakan satu langkah strategik yang perlu dilaksanakan secara serius dan berperingkat bermula dari dalam parti sendiri, tegas Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Berucap dalam Ucapan Dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2025, beliau menegaskan bahawa wanita tidak boleh lagi dilihat sekadar sebagai jentera pilihan raya atau pengisi barisan ketika kempen, sebaliknya mesti diangkat sebagai pembuat dasar dan penentu hala tuju parti .
Menurut beliau, wanita merupakan tiang seri kepada kekuatan parti dan keupayaan sebenar UMNO untuk kembali kukuh dan relevan dalam landskap politik yang semakin mencabar.
“Penyertaan 30 peratus wanita dalam kepimpinan bukan permintaan manja, bukan rayuan emosi dan bukan sekadar slogan persidangan. Ini adalah perintah strategi untuk memartabatkan wanita dan memperkukuh parti,” katanya.
Noraini berkata, UMNO perlu menetapkan sasaran minimum 30 peratus itu secara terancang dan berperingkat, serta yang paling penting, diikat secara rasmi dalam perlembagaan parti bagi memastikan pelaksanaannya tidak bersifat sementara atau bergantung kepada budi bicara kepimpinan semata-mata .
Beliau turut menegaskan keperluan parti menetapkan garis masa jelas bagi pelaksanaan dasar tersebut, selaras dengan usaha mengiktiraf martabat dan peranan wanita sebagai penggerak utama masyarakat dan kekuatan akar umbi.
“UMNO adalah parti yang sentiasa berada di hadapan dalam membawa perubahan dan transformasi. Saya percaya UMNO berani dan benar-benar serius melaksanakan agenda ini, selaras dengan perubahan semasa dan tuntutan demokrasi yang lebih matang,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menyatakan keyakinan bahawa wanita mampu membuktikan kepercayaan yang diberikan bukanlah sia-sia, sebaliknya menjadi nilai tambah kepada parti dari sudut kepimpinan, kestabilan dan kebolehan mendekati rakyat.
Mengakhiri penegasan tersebut, Noraini menyeru kepimpinan tertinggi parti agar mendukung agenda penyertaan 30 peratus wanita ini secara berprinsip demi memastikan masa depan demokrasi negara yang lebih seimbang, inklusif dan berdaya tahan



