Program PROTEGE – RM30 juta untuk 76,690 graduan dan mahasiswa

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM30 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK -12) bagi pelaksanaan program keusahawanan dan kebolehpasaran yang dilaksanakan oleh Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTEGE) dengan sasaran seramai 76,690 graduan dan mahasiswa.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah merangka beberapa inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh golongan itu selari dengan matlamat Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 ke arah Malaysia sebagai negara keusahawanan yang unggul menjelang tahun 2030 kelak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata demikian ketika merasmikan Karnival PROTEGE @ KUSKOP 2024 di World Trade Centre (WTCKL) pada Ahad .

Menurutnya, KUSKOP telah menjalinkan kerjasama erat bersama kementerian dan agensi yang berkaitan dalam membantu graduan dan mahasiswa antaranya Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia serta PERKESO.

“Kemahiran keusahawanan yang diberikan kepada mahasiswa sejak peringkat universiti akan dapat melahirkan usahawan yang lebih inovatif, berdaya maju dan kompetitif dalam menghadapi realiti dunia perniagaan yang mencabar.

Program yang telah dirancang antaranya, Latihan Intensif dalam Talian bagi Usahawan Generasi Baharu (N-GENE), Penempatan Latihan Kerjaya dan Keusahawanan TVET (GRACE), Usahawan Perantis (SPACE), Pensijilan Profesional Graduan TVET, Seminar Keusahawanan Mahasiswa, Usahawan Siswazah (PUSH) dan Kembara Kerjaya (ROAD), ”katanya.

“Peserta yang pernah mengikuti program PROTEGE dan SPACE pernah terpapar di akhbar Berita Harian 10 Disember 2023 bertajuk “Pelajar UMK raih pendapatan 6 angka hasil jualan mi sotong retort.

Begitu juga dengan kisah kejayaan pelakon Yana Samsudin yang pernah menyertai Program N-GENE berhasil membina pelbagai bidang perniagaan seperti perniagaan pakaian dan tudung.

Selain itu, terdapat peserta N-GENE 2022 yang telah berjaya mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain disamping mewujudkan 190 peluang pekerjaan baharu,”katanya lagi.

“Berdasarkan rekod, 2021 hingga 2023 seramai 24,386 graduan telah mendapat manfaat daripada program penempatan latihan kerjaya graduan bersama Industri ( PROTEGE Ready To Work – PROTEGE-RTW).

Sebanyak 10% atau lebih kurang 2,438 peserta program ini berjaya mendapat pekerjaan, sama ada diserap masuk oleh syarikat yang melatih atau mendapat pekerjaan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat-syarikat penerima kontrak kerajaan .

Inisiatif ini amat penting bagi memastikan graduan mendapat pengalaman sebenar akan dunia pekerjaan dan melahirkan pelapis negara yang mempunyai jati diri yang kuat bagi membentuk generasi cemerlang masa hadapan, ”ujarnya.

“Graduan dan mahasiswa seharusnya dapat melipatgandakan usaha ke arah membina impian atau mencipta kerjaya sendiri dalam bidang keusahawanan serta menanam tekad yang teguh untuk menjadi usahawan yang berdaya saing dan mampan.

Sebanyak 6 siri lagi karnival seperti ini akan diadakan di seluruh negara di Zon Utara, Selatan, Timur dan Borneo mensasarkan seramai 9,000 pengunjung, ”ujarnya lagi.

Seramai sepuluh individu menerima sijil anugerah usahawan N-GENE antaranya Norlida Ramli (Percetakan dan Pengiklanan), Nur Atiqah Soleha Mohd Zamari (Perkhidmatan Jahitan), Nur Azra Ab Rahman, Bibi Nabillah Thalita Mohd Nasri (Produk Makanan dan Minuman), Nur Hazwani Zulkifli (Produk Kesihatan dan Penjagaan Diri), Muhamad Nuradzhar Mazlan (Perkhidmatan Terapi Speech Delay), Muhamad Jaafar (Pakaian Lelaki), Nurul Atikha Noor Aidi (Kasut Roda), Nabilah Aqilah Mohd Asraf (Pakaian), Mohamad Nizam Adhaa Kamarudin (Perkhidmatan Pendidikan).

Lima individu menerima anugerah kategori SPACE antaranya Nurul Hidayah Saad (Pembuatan Perabot dan Hiasan Dalaman), Muhammad Aidil Qhirdinnie Abu Bakar (Produk Pakaian dan Cenderahati), Muhammad Akif Noramran (Perkhidmatan dan Pembuatan Cetakan 3D) dan Farah Hanis Md Faris @ Norhisham (Makanan dan Minuman).

Lima syarikat meraih kategori GRACE antaranya Arie Auto Service , Jen Auto Centre Sdn. Bhd , Techniker Expert Sdn . Bhd. (Sektor Automotif ), Epy Dungun Enterprise dan Nurmuhammad Services (Perkhidmatan Penghawa Dingin).

Manakala Permodalan Nasional Berhad , Tenaga Nasional Berhad , Alam Medik Sdn. Bhd, Primabumi Sdn. Bhd. dan Advanced Defence Systems Sdn. Bhd. bagi kategori Protege RTW.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan 33 syarikat menawarkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan kepada graduan yang hadir disamping memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat mengenai peluang yang disediakan oleh agensi antaranya Institut Keusahawanan Negara, Bank Rakyat, SME Corp. Malaysia, Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), UDA Holdings Berhad, Institut Koperasi Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan SME Bank-Bank Perusahaan Kecil & Sederhana.

Sementalah itu, program bual bicara santai ‘Sembang PROTEGE X KRU’ secara dalam talian sebanyak 12 episod turut dilancarkan oleh KUSKOP dengan kerjasama Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim, melibatkan usahawan yang berkaliber dan berjaya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan dan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Sri Suriani Datuk Ahmad. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat