DNAA: Peguam Negara ada hak mula dan hentikan pertuduhan tanpa wajib beri alasan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Hak untuk memulakan dan menghentikan sebarang pertuduhan terhadap orang yang dituduh di mahkamah memang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tegas Peguam Negara.

Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh menyatakan sebagai pendakwa raya, beliau tidak berkewajipan untuk memberi alasan kepada sesiapa.

Ini termasuk alasan pertuduhan jenayah dibuat atau mengapa perbicaraan di mahkamah digugur pertengahan jalan atau lazim dirujuk sebagai dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

“Peranan kami adalah mantap dan dilindungi Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam ucapan sulung Pembukaan Tahunan Perundangan 2024 di Putrajaya pada Isnin, lapor Utusan.

Isu DNAA menjadi polemik susulan kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan 47 pertuduhan salah guna dana awam Yayasan Akalbudi.

Meskipun tidak pula dinyatakan secara spesifik kepada mana-mana kes tertentu, Ahmad Terrirudin dipercayai merujuk isu cabaran undang-undang oleh Badan Peguam Malaysia.

Organisasi berkenaan mahu Jabatan Peguam Negara (AGC) melakukan semakan kehakiman semula terhadap DNAA yang diberi tahun lepas kepada Presiden UMNO tersebut susulan tindakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tanpa diduga bertindak memberikan DNAA selepas pihak pendakwaan meminta untuk menghentikan perbicaraan berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Terrirudin menegaskan bahawa DNAA tertakluk selagi kuasa budi bicara dilaksanakan secara sah dan mengambil kira keterangan yang dikemukakan.

“Justeru, penting ketika ini untuk menekankan bahawa pendakwa raya mesti dibenarkan melakukan tugas dengan baik dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berjanji untuk mendakwa mereka yang memanipulasi kaum, agama, dan royalti atau disebut 3R — termasuk menggunakan Akta Hasutan jika perlu.

Bahkan beliau memberi amaran keras kepada bakal pesalah mengenai komitmennya dalam mengekang kesalahan itu yang semakin berleluasa disebarkan oleh pihak tertentu.

Pihaknya malah sedar bahaya pengeksploitasian isu 3R, yang ada kecenderungan untuk mengganggu dan membahayakan kehidupan rakyat serta tahap keselamatan negara.

“Saya tidak teragak-agak untuk membawa mana-mana pesalah ke muka pengadilan dan mengambil tindakan tegas demi mengekalkan keamanan dan ketenteraman,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat